
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian melalui perbincangan yang dijalankan IWK bersetuju untuk menutup semua kira-kira 20 “manhole” di kawasan berkenaan secara kekal.
“Ini adalah untuk mengelakkan sebarangan orang untuk membuka ‘manhole’ berkenaan. Pihak saya juga akan mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang dan IWK supaya mengadakan kawalan 24 jam di tempat keluar masuk ke kawasan ini dan kita harap polis boleh buat rondaan untuk memastikan kawasan ini tidak lagi diceroboh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Hee kawasan di Loji Olahan Air Sisa Kumbahan Bandar Putera Mahkota itu merupakan tempat yang terbiar, tetapi mempunyai sistem pembentungan dan infrastruktur yang lengkap.
“Tidak banyak rumah dibina di sini, ada kira-kira 3 buah, kawasan ini juga bersempadan dengan Negeri Sembilan dan kawasan perindustrian, kita tidak boleh halang mereka masuk ke sini. Untuk masa akan datang kita bercadang untuk memasang kamera litar tertutup di laluan keluar dan masuk,” katanya.
Semalam Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik IWK itu.
Susulan penutupan itu sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.