
Zuraida memaklumkan ia akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan diluluskan pada hari yang sama.
“Pada Isnin lepas saya jumpa menteri besar dan menteri besar akan membawa kes Highland Towers pada 8 Jan dalam mesyuarat MTES dan akan diluluskan 8 Jan ini juga,” katanya kepada pemberita di satu pertandingan bola sepak hari ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada 14 Dis lepas memaklumkan proses ambil alih tanah tapak Highland Towers tidak dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini memandangkan kerajaan Selangor masih meneliti beberapa dokumen berkaitan.
Amirudin berkata, hasrat Zuraida untuk melihat Highland Towers dirobohkan bagi pembangunan taman rekreasi hanya akan dapat dilakukan pada tahun depan.
Zuraida sebelum ini berharap kerajaan Selangor dapat mempercepatkan kelulusan untuk mendapatkan tapak Highland Towers, yang terbiar sejak 26 tahun lalu.
Pada 11 Dis 1993, 1 daripada 3 blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.
Zuraida, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, kementeriannya hanya perlukan kelulusan Amirudin bagi memulakan proses pembangunan semula tapak berkenaan.
Zuraida mencadangkan kawasan Highland Towers dibangunkan semula sebagai taman rekreasi pada Ogos tahun lalu, memandangkan struktur tanahnya tidak sesuai untuk pembinaan rumah.