Aliran keluar dana asing berkurang kepada RM58 juta minggu ini

Aliran keluar dana asing berkurang kepada RM58 juta minggu ini

Bursa Malaysia dijangka diniagakan kukuh minggu depan dan akan menguji semula paras 1,600 dan mendorong kepada paras 1,625, selepas ditutup pada 1,610.18 pada Jumaat.

Dana asing dijangka terus mengalir ke Malaysia berikutan komitmen kerajaan untuk melaksanakan projek infrastruktur utama pada tahun depan, yang akan memberi manfaat kepada saham berkaitan pembinaan.
KUALA LUMPUR:
Aliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti tempatan berkurangan kepada RM57.7 juta dalam tempoh 16-19 Dis berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM295.3 juta pada 9-12 Dis, disokong oleh perkembangan positif mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbincangan perdagangan antara 2 gergasi ekonomi itu dilihat berjalan dengan baik berikutan AS mengurangkan sebahagian tarif, manakala China, berjanji untuk membeli lebih banyak produk pertanian AS.

“Dilihat terdapat kelegaan dari segi risiko global buat masa ini, menyebabkan sentimen untuk mengambil risiko lebih ketara.

“(Kemajuan berhubung) Brexit turut membawa kepada penyertaan yang lebih baik daripada pelabur asing. Ini dapat dilihat dalam FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI, yang meningkat setinggi 1,599.11 mata pada 18 Dis,” katanya.

Pada Jumaat, perdana menteri Britain Boris Johnson mendapat kelulusan untuk perjanjian Brexit di Parlimen, yang seterusnya mengesahkan tarikh Brexit pada 31 Jan, membawa pelabur untuk membeli dalam pasaran yang dibelenggu ketidakpastian selama lebih 3 tahun.

Mengenai masa depan, Mohd Afzanizam berkata, dana asing dijangka terus mengalir ke Malaysia berikutan kerajaan menunjukkan komitmennya untuk melaksanakan projek infrastruktur utama pada tahun depan, yang akan memberi manfaat kepada saham berkaitan pembinaan.

Pada 17 Dis, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), TRX City Sdn Bhd dan IWH CREC Sdn Bhd, konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation, memeterai perjanjian untuk membangunkan Bandar Malaysia, sekali gus melaksanakan semula projek bernilai RM140 bilion itu yang terletak di tapak bekas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Jalan Sungai Besi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menyaksikan majlis pemeteraian itu berkata, kerajaan akan meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, walaupun pada kos yang lebih rendah.

“Selain itu, sektor teknologi dijangka mencatat prestasi yang baik berdasarkan unjuran baru-baru ini oleh Pertubuhan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) bahawa jualan semikonduktor global dijangka meningkat sebanyak 5.9% pada 2020 selepas merosot 12.8% pada 2019.

“Sementara itu, laporan Prospek Aktiviti Petronas 2020-2022 baru-baru ini menunjukkan terdapat lebih banyak projek untuk penggiat huluan berikutan kontrak sedia ada akan tamat dalam masa terdekat.

“Terdapat banyak peluang dalam persekitaran ketidaktentuan global. Oleh itu, pelabur akan lebih memilih dalam keputusan pelaburan mereka,” katanya.

Berdasarkan semua perkembangan ini, Bursa Malaysia dijangka diniagakan kukuh minggu depan dan dijangka menguji semula paras 1,600 dan mendorong kepada paras 1,625, selepas ditutup pada 1,610.18 pada Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.