Zuraida enggan komen isu parti, rancang jelajah negara tahun depan

Zuraida enggan komen isu parti, rancang jelajah negara tahun depan

Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dalam tempoh bertenang sehingga 31 Dis 2019.

Zuraida Kamaruddin.
AMPANG:
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin enggan mengulas isu berkaitan partinya tetapi memaklumkan beliau merancang untuk mengadakan jelajah “Wawasan Kemakmuran Bersama” ke seluruh negara tahun depan.

Beliau kini dalam “tempoh bertenang” sehingga 31 Dis 2019, katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan rakan sejawat, Tian Chua yang “bimbang” dengan kempen “nakal” ahli-ahli parti menggesa presiden mereka, Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri ke-8.

“Saya tidak akan buat kenyataan. Namun pada 2020, saya merancang untuk adakah jelajah Wawasan Kemakmuran Bersama ke seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas satu majlis perasmian hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberi penerangan lanjut mengenai jelajah itu.

Terdahulu, Tian Chua dilaporkan berkata isu perdana menteri ke-8 hanya akan melaga-lagakan Anwar dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dan akan dilihat sebagai cubaan menekan gabungan pemerintah itu.

Beliau mengingatkan hanya pimpinan Pakatan Harapan sahaja yang boleh memutuskan hal itu, bukannya ahli-ahli parti.

Mahathir pada 10 Dis berjanji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim, walaupun presiden PKR itu berdepan dakwaan serangan seksual terbaru.

Walaupun Mahathir berjanji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar ketika kempen pilihan raya umum tahun lalu, keraguan timbul apabila beliau kemudiannya berkata, beliau memerlukan lebih banyak masa untuk memulihkan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.