Uzbekistan mahu tingkat hubungan dengan Malaysia

Uzbekistan mahu tingkat hubungan dengan Malaysia

Uzbekistan melalui pelbagai pembaharuan di bawah pimpinan Presiden Shavkat Mirziyoyev.

Penasihat Negara kepada Presiden Uzbekistan, Rustam Kasimov (kanan) mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di acara luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Uzbekistan berminat untuk menarik lebih ramai pelawat dari Malaysia dan meningkatkan lagi hubungan dalam bidang lain dengan negara Asia Tenggara ini.

Rustam Kasimov, Penasihat Negara kepada Presiden, berkata Uzbekistan melalui pelbagai pembaharuan di bawah pimpinan Presiden Shavkat Mirziyoyev.

“Pembaharuan ini meliputi dasar politik, ekonomi, domestik dan lain-lain. Oleh itu, kami merasakan perlu untuk meningkatkan hubungan kami dalam semua bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di acara luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Mengenai pelancongan, beliau berkata pelancong dari Malaysia ke Uzbekistan berjumlah kira-kira 4,000 setahun, jumlah yang kecil berbanding dengan 33 juta penduduk Malaysia.

“Kami telah membangunkan banyak infrastruktur pelancongan. Oleh itu, langkah penting seterusnya ialah meningkatkan kesedaran tentang negara kami untuk warga Malaysia datang melawat,” kata Kasimov.

Sehubungan itu, katanya pengiklanan dan aktiviti untuk mempromosikan lagi Uzbekistan perlu ditingkatkan, termasuk melalui penyertaan lebih banyak agensi pelancongan daripada kedua-dua pihak.

Bercakap kepada pemberita, Mahathir berkata beliau melawat Uzbekistan pada 1993 dan percaya negara berkenaan mengalami banyak perubahan sejak itu.

Uzbekistan, kata beliau, mempunyai tradisi Islam yang kaya seperti dalam bidang pengetahuan, selain memiliki kepakaran tertentu, terutamanya hiasan masjid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.