Dagangan Bursa Malaysia pulih selepas alami masalah teknikal

Dagangan Bursa Malaysia pulih selepas alami masalah teknikal

Gangguan itu tidak berkaitan dengan isu keselamatan siber, dengan sistem kekal selamat dan dilindungi.

Dagangan Bursa Malaysia dalam pasaran ekuiti dihentikan akibat masalah teknikal, semalam. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Dagangan di Bursa Malaysia Securities Bhd disambung semula pada 9 pagi ini selepas dihentikan pada 4.45 petang semalam disebabkan isu teknikal.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Umar Swift berkata gangguan itu tidak berkaitan dengan isu keselamatan siber, dengan sistem kekal selamat dan dilindungi.

“Kami memohon maaf kepada semua pelanggan dan pemegang saham Bursa Malaysia atas gangguan dagangan berkenaan.

“Pasukan kami mengambil tindakan segera untuk mengenal pasti masalah dan berkomunikasi dengan semua pihak bagi menentukan punca dan impaknya,” katanya.

Umar berkata masalah itu merupakan insiden teknikal terpencil dan pasukannya mengambil tindakan yang bersesuaian untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan supaya tidak berulang pada masa depan.

“Bursa kekal fokus dalam memastikan gangguan minimum dalam dagangan,” katanya.

Semalam, dagangan dalam pasaran ekuiti dihentikan, manakala pasaran derivatif tidak terjejas dan terus berurus niaga seperti biasa.

Dagangan di Bursa Malaysia dibuka pada 9.00 pagi tadi seperti biasa, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 2.26 mata lebih tinggi pada 1,598.27.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.