
Kartun animasi seekor musang bernama “Pinkfong” semakin menggemparkan industri muzik kanak-kanak.
Malah, watak yang mula tular menerusi lagu “Baby Shark” itu kini mencapai 4.1 bilion tontonan di YouTube dan mendahului carta muzik kanak-kanak di iTunes dan Google Play.
Ada berita gembira buat peminat cilik Pinkfong dan Baby Shark. Mereka mahu menemui anda untuk menyanyi dan menari bersama tanpa henti selama 66 minit.
“Pinkfong & Baby Shark’s Space Adventure Sing Along Special” berbentuk animasi 2D dan 3D kini mula ditayangkan di 34 pawagam GSC seluruh Malaysia, pada harga tiket RM11.
Hasil rekaan SmartStudy Co. Ltd dan diedarkan oleh Astro dengan kerjasama GSC Cinemas sebagai rakan kongsi pawagam eksklusif, siaran selama 1 jam ini mengisahkan pengembaraan terbaru Pinkfong dan Baby Shark di angkasa.

Dengan 27 video muzik pendek, ikuti pengembaraan mereka merentasi galaksi bersama penghuni Dino Planet, Jungle Planet, Spooky Planet, Game Planet dan Ocean Planet; sudah pasti akan membuat kanak-kanak cilik tidak senang duduk.
“Pinkfong & Baby Shark’s Space Adventure Sing Along Special” akan disiarkan dalam Bahasa Inggeris dengan sari kata Bahasa Melayu.
Pinkfong merupakan jenama pendidikan kanak-kanak oleh SmartStudy, sebuah syarikat pendidikan berasaskan hiburan, dan diterbitkan pada Jun 2010.

Saluran pendidikan mereka mempunyai lebih daripada 13 juta pelanggan dalam pelbagai bahasa termasuk Korea, Jepun, Sepanyol, Rusia, Mandarin, dan Thai.
Pinkfong menggamit kanak-kanak serata dunia selepas lagu “Baby Shark” tular. Video muziknya mempunyai lebih daripada 100 variasi dalam 11 bahasa yang berbeza, dengan yang pertama dikeluarkan di YouTube pada lewat 2015.
Semua kanak-kanak tahu apa sahaja jalan cerita Pinkfong mesti sangat berwarna-warni, dengan iringan lagu dan tarian.

Tapi tahukah anda “Baby Shark” sebenarnya mula dinyanyikan di perkhemahan musim panas dan taman permainan di Amerika Syarikat sejak 1900-an lagi?
SmartStudy mengolak lagu itu, memasukkan melodi yang rancak, mengulang semula ayat-ayat “catchy”, dan disempurnakan dengan muzik gaya K-Pop.
Pasukan koreografi pula menghasilkan tarian khas yang mudah ditiru kanak-kanak menerusi video.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]