Belum ada tawaran menarik untuk Malaysia Airlines, kata Azmin

Belum ada tawaran menarik untuk Malaysia Airlines, kata Azmin

Lembaga Khazanah Nasional Berhad belum membuat sebarang keputusan walaupun sudah berbincang dengan beberapa pelabur dan pembeli yang berpotensi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
KUALA LUMPUR:
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata Khazanah Nasional Berhad belum menemui tawaran menarik bagi Malaysia Airlines Berhad (MAB) walaupun sudah berbincang dengan beberapa pelabur dan pembeli yang berpotensi.

Azmin berkata, lembaga Khazanah yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan syarikat penerbangan negara itu.

“Kami hanya mengadakan mesyuarat lembaga pada 17 Disember lalu. Perkara ini dibincangkan tetapi cadangan yang dibentangkan dalam mesyuarat lembaga itu tidak cukup menarik.

“Jadi pengerusi dan lembaga bersetuju, kita perlu melihat pilihan lain sebelum kita dapat membuat keputusan akhir,” katanya kepada pemberita selepas berucap di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Pada 22 Oktober lalu, Azmin berkata, 4 pelabur berpotensi disenarai pendek untuk menjadi rakan strategik Malaysia Airlines.

Katanya, 4 pelabur itu antara 20 pihak yang dipelawa Khazanah dan sebuah entiti di bawahnya, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) untuk menjadi rakan strategik Malaysia Airlines.

Beliau berkata, 4 pelabur itu sedang dinilai secara ketat dan teliti dengan mengambil kira kehematan kewangan dan sinergi terbaik untuk Malaysia Airlines.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak boleh mendedahkan butiran 4 pelabur itu disebabkan perjanjian tanpa pendedahan (Non-Disclosure Agreement).

Dalam pada itu, Azmin berkata sebarang keputusan tidak akan diumumkan dalam masa terdekat kerana Khazanah dan kerajaan masih mengkaji cadangan dan tawaran.

“Baiklah, hanya beberapa hari (sebelum tahun baru) jadi saya tidak fikir begitu (kita akan menyelesaikan apa-apa), tetapi sudah tentu kita memerlukan lebih banyak perbincangan dalam hal ini.

“Kerana kami menerima beberapa cadangan lain untuk menjadi rakan strategik MAS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.