
Selepas diswastakan pada 2015, Malaysia Airlines melakukan pengecilan operasi membabitkan pemberhentian kira-kira 6,000 orang pekerja.
Pada 2017, Richard Riot, menteri sumber manusia ketika itu berkata kira-kira 3,000 daripada mereka yang diberhentikan tidak boleh membuat tuntutan atau keadilan daripada mahkamah kerana syarikat penerbangan tersebut telah diisytiharkan muflis.
Menurut laporan, beliau juga berjanji untuk memastikan kebajikan mereka yang diberhentikan terbela.
Nufam bagaimanapun mempersoalkan tindakan Malaysia Airlines mengadakan temu duga sedangkan beribu orang yang dibuang kerja sebelum ini masih tiada pendapatan tetap.
“Pekerja-pekerja ini terpedaya dengan pentadbiran sebelum ini yang menjanjikan mereka dengan tawaran menarik, mereka hanya mendapat faedah yang sedikit hari ini,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
“Sudah tiba masanya keadilan diambil oleh kerajaan pada hari ini yang mendukung undang-undang.”
Kesatuan itu juga mengkritik Malaysia Airlines kerana memecat Presidennya, Ismail Nasaruddin, selepas mengeluarkan kenyataan di media yang mendedahkan nasib pekerja dan menyeru peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif.
Pada 2013, Ismail membenarkan The Sun Daily mewawancaranya untuk menyuarakan kebimbangan pekerja atas dakwaan kerja berlebihan, gaji rendah, isu kesihatan dan keselamatan akibat pengaturan semula pesawatnya serta arahan penurunan berat badan.
Ismail kemudiannya ke Mahkamah Perusahaan untuk mendapatkan semula jawatannya, tetapi tribunal pada awal tahun ini memihak kepada keputusan Malaysia Airlines atas pemecatan Ismail.
Bagaimanapun pada September lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan pemecatannya menyalahi undang-undang.
Nufam berkata para pekerja dan pemimpin kesatuan tidak boleh ditakut-takutkan atau dipecat kerana kesatuan mewakili suara pekerja.
“Sudah tiba masanya kerajaan sekarang menangani perkara tidak masuk akal ini,” tambahnya.