
Pemimpin parti Islam terbesar Malaysia itu mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan menganjurkan suatu acara bagi menjalin kerjasama negara-negara umat Islam, mengatakan beliau turut berkempen di luar negara bagi menjayakan persidangan yang secara rasmi bermula hari ini.
Hadi berkata banyak kelemahan negara-negara Islam masih gagal ditangani dan “memindahkan sidang dari Asia Barat ke Asia Tenggara, jauh dari tempat banyak masalah, langkah amat baik kerana rantau ini lebih aman dan tenang.”
Hadi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak KL 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 2019 hari ini, yang turut menampilkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.
Sidang ini bagaimanapun dilaporkan mengundang teguran daripada OIC, yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi.
Hadi, yang hadir atas undangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, berkata topik Sidang Kemuncak KL menarik sebab bukan mengenai politik sahaja.
“Tetapi mengenai isu kerjasama membangun kemajuan sains dan teknologi dan kerjasama ekonomi. Ini sangat penting untuk masa ini,” katanya.