
Penganalisis politik berkata kerajaan perlu memberi penjelasan rasional berhubung pindaan itu dan meyakinkan semua ahli Parlimen Sarawak sebelum ia dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat, tahun depan.
Suffian Mansor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata untuk tujuan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu campur tangan demi memastikan kerajaan mendapat sokongan Sarawak.
“Campur tangan perdana menteri amat penting sebab saya rasa Dr Mahathir memang dihormati di Sabah dan Sarawak, jadi ini juga langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk mendapatkan sokongan kepada pindaan tersebut.
“Jadi apa yang penting sekarang untuk meyakinkan penggubal undang-undang di Sarawak terutama GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk menyokong pindaan itu di Dewan Rakyat kelak.
“Kerajaan tidak boleh memberi satu Rang Undang-Undang (RUU) yang kabur sebab mereka (ahli Parlimen Sarawak) perlu memahami undang-undang itu agar pindaan itu memang apa yang mereka mahukan,” katanya kepada FMT.
Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf Tanah Melayu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pindaan tersebut tidak diluluskan Dewan Rakyat pada April lalu selepas gagal memperoleh sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat di mana 59 ahli Parlimen tidak mengundi termasuk daripada GPS.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mengumumkan pindaan RUU itu sekali lagi akan dibentangkan ke Dewan Rakyat pada sesi Parlimen akan datang.
Mengulas lanjut, Suffian berpendapat kegagalan pada April mungkin berpunca daripada pindaan tersebut diragui oleh 59 wakil rakyat yang tidak mengundi itu.
“Apa yang dibentangkan kerajaan masa itu masih lagi menimbulkan keraguan mereka sebab apa yang ditulis itu banyak dipertikaikan kerana tidak dibincangkan terlebih dahulu dan tidak dirujuk kepada mereka dahulu.
“Mereka takut terperangkap kepada undang-undang itu kerana mereka tak nak apa yang terjadi zaman itu berulang semula. Mereka bimbang pisang berbuah dua kali. Ini yang patut dilihat dan dibincang semula antara kerajaan dan Sarawak,” katanya.
Beliau menambah, kebimbangan Sarawak semakin ketara susulan keputusan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada April itu akan memberi impak menjelang pilihan raya negeri yang akan diadakan.