
Dalam klip video yang tular di internet, 4 orang gadis itu dilihat bergegas melindungi seorang lelaki yang diserang polis menggunakan batang buluh sepanjang 2 meter dikenali sebagai “lathi”.
Mereka mengacukan jari mereka ke arah pihak berkuasa dan berteriak “polis pergi dari sini, pergi dari sini” dalam kejadian di New Delhi pada Ahad lalu.
Rusuhan yang mula merebak ke seluruh India sejak semalam, adalah susulan daripada keputusan Parlimen minggu lalu yang meluluskan undang-undang bagi memudahkan rakyat dari 3 negara jiran mendapat kewarganegaraan India.
Pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia menyifatkan undang-undang baru itu sebagai anti-Islam kerana kerakyatan tersebut hanya diberikan kepada orang bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.
Mereka turut menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai agenda Perdana Menteri Narendra Modi menyusun semula India sebagai negara Hindu, namun dinafikan beliau.

Wanita dalam klip video itu ditemubual pelbagai media, dan ilustrasi mereka mengacukan jari kepada pihak polis yang tersebar secara meluas dalam talian, digunakan sebagai poster oleh petunjuk perasaan dalam protes di jalanan.
“Kami tidak takut kepada kerajaan, polis atau sesiapa pun,” kata salah seorang daripada wanita itu, Ayesha Renna, 22, yang merupakan pelajar Sejarah Universiti Jamia Millia Islamia kepada saluran televisyen India.
Pertembungan pada malam Ahad yang menyaksikan kenderaan dibakar dan polis melancarkan serangan di universiti sehingga menampakkan kekejaman mereka, mencetuskan kemarahan orang ramai sekali gus menyemarakkan lagi api petunjuk perasaan.
“Pelajar mempunyai hak untuk membantah. Keganasan terhadap pelajar yang membantah secara damai tidak dibolehkan walau dalam apa jua justifikasi,” kata kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International kelmarin.
Naib Canselor Universiti Jamia Millia Islamia, Najma Akhtar, berkata 200 orang cedera pada Isnin lalu tetapi polis meletakkan angka itu kepada 39 pelajar dan 30 anggota cedera, dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Jurucakap polis MS Randhawa berkata 4 buah bas, 100 kenderaan persendirian dan 10 bas polis rosak, dan pihak polis menggunakan “sekatan maksimum dengan tindakan minimum” walaupun “diprovokasi”.