
2 jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Teknikal (JKPWAS-Teknikal) yang dipengerusikan oleh presiden PBS ketika itu, Joseph Pairin Kitingan dan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Induk (JKPWAS-Induk) yang dipengerusikan secara bersama oleh bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya ingin menjelaskan bahawa cadangan itu tidak pernah dibawa ke Kabinet kerana kedua-dua jawatankuasa berkenaan belum selesai kerja mereka,” katanya, sambil menambah ketika itu negara dilanda “demam pilihan raya umum ke-14” dan mesyuarat ditunda kerana parti politik mula melakukan persiapan untuk pilihan raya tersebut.
“Mesyuarat terakhir yang diadakan oleh JKPWAS-Induk adalah pada 16 Mei 2016.
“Bukti daripada minit mesyuarat menunjukkan PSS akan dilaksanakan oleh BN sekiranya memenangi pilihan raya,” katanya.
Naib Presiden PBS Daniel Kinsik semalam menyokong kenyataan Kitingan bahawa langkah mengeluarkan pas sementara itu bukan antara cadangan yang diberikan oleh RCI, dan menuduh Azis memalsukan butiran itu.
Beliau berkata PSS tidak pernah disebut dalam cadangan untuk menangani pendatang asing di Sabah atau dibawa ke Kabinet BN untuk membuat keputusan.
Tetapi Azis berkata walaupun sehingga hari ini, PSS masih belum dibawa ke Kabinet kerana sesi pengurusan bersama dengan pihak berkepentingan masih berterusan.
“Masih ada butiran lanjut perlu diperincikan sebelum kerajaan boleh mengadakan sesi `town hall’, bermula Januari tahun depan,” katanya.
Beliau kekal dengan pendirian bahawa minit mesyuarat JKPWAS-Induk dengan jelas menyatakan keperluan melaksanakan Pas Residen Sabah, atau nama asalnya PSS, untuk mengelakkan pemalsuan dokumen Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
“Seperti yang kita yakin bahawa dasar itu merupakan cara terbaik untuk menyelaraskan ketiga-tiga dokumen berkenaan, kerajaan Pakatan Harapan sanggup mengetepikan ego dan menerima rancangan PSS yang dicadangkan oleh BN untuk menyelesaikan masalah pendatang asing di Sabah,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan kenapa PBS dan Umno menentang cadangan mereka sendiri.
“Bagaimana perkara ini boleh memberikan lebih bahaya daripada kebaikan terhadap keselamatan Sabah? Mungkin PBS boleh bertanyakan kepada bekas presidennya,” katanya.