
Dalam kenyataannya, ia berkata Azilah tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang 2019 dan kali terakhir dibawa keluar pada 15 April 2015 bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.
“Berdasarkan rekod semenjak tarikh tersebut, penama (Azilah) tidak pernah dibenarkan untuk dibawa keluar penjara berkenaan untuk apa-apa juga urusan.
“Rekod lawatan dan perjumpaan juga menunjukkan banduan telah dilawati sebanyak 35 kali oleh keluarga dan 15 kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang sejak setahun yang lalu,” menurut kenyataan itu.
Katanya, lawatan terhadap Azilah tertakluk kepada Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 bagi lawatan kepada mana-mana banduan akhir, iaitu yang sedang menunggu hukuman mati.
“Sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mendakwa Azilah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk bertemu VVIP adalah tidak benar sama sekali.”
Semalam, peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau mempunyai “maklumat yang boleh dipercayai” bahawa Azilah pernah bertemu seorang “VVIP” di luar penjara sejak Februari.
Shafee mendakwa beliau tahu pertemuan antara Azilah dan beberapa individu itu berlaku di luar penjara, mengatakan ia melanggar protokol peraturan penjara.
Azilah sebelum ini mendakwa arahan bunuh Altantuya itu daripada Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri.
Najib bagaimanapun menepis dakwaan Azilah, mengatakan ia “langkah terdesak” oleh seseorang yang menghadapi hukuman mati.
Beliau juga memohon untuk mencelah semakan semula Azilah terhadap pensabitan bunuh.