Najib kata tandatangan pada dokumen boleh dipalsukan

Najib kata tandatangan pada dokumen boleh dipalsukan

Najib memohon memanggil pakar dari Australia untuk menentukan kesahihan tandatangan pada dokumen berkaitan perbicaraannya.

Bekas perdana menteri Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini beliau tidak pasti sama ada tandatangannya pada dokumen berkaitan perbicaraan rasuah SRC International, yang sebenar atau palsu.

Beliau berkata disebabkan itu beliau mahu melibatkan pakar dari Australia untuk mengenal pasti kesahihan tandatangan tersebut pada exhibit tertentu di mahkamah.

“Saya tidak pasti sama ada tandatangan tersebut dipalsukan. Sebab itu saya memohon memanggil pakar untuk mengesahkannya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V Sithambaram, yang melakukan pemeriksaan balas terhadap Najib, berkata ia tidak perlu kerana Najib sendiri sepatutnya dapat menentukan kesahihannya.

“Pakar boleh datang dan memberikan bukti, dan dia akan memberi keterangan seperti yang anda mahu dia katakan,” katanya.

Minggu lalu, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata pakar tersebut akan menjalankan pemeriksaan terhadap exhibit di hadapan kakitangan mahkamah dan pasukan pendakwaan.

Sithambaram bagaimanapun membantah permintaan pembelaan itu, mengatakan pihak pendakwaan boleh menjadi prejudis.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memerintahkan pasukan pembelaan memfailkan permohonan rasmi untuk pertimbangannya.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa tandatangan Najib tidak sepatutnya menjadi isu kerana bekas perdana menteri itu tidak membantah apabila disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pihak pembelaan juga berdiam diri mengenai perkara itu apabila dokumen utama diserahkan oleh pihak pendakwaan, serta ketika Najib memberi keterangan membela diri seperti yang dikehendaki di bawah Akta SPRM.

Sithambaram berkata isu tandatangan tersebut dibangkitkan kali pertama di pertengahan perbicaraan sebagai sesuatu yang difikirkan kemudian.

Beliau berkata pihak pembelaan hanya menggesa mahkamah supaya tidak menerima salinan dokumen sebagai bukti.

Najib, yang berada di dalam kandang saksi, hari ini mengatakan beliau meragui tandatangan tersebut sewaktu siasatan dilakukan tetapi tidak memberitahu sesiapa mengenai perasaannya itu.

Sithambaran berkata pegawai SPRM tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan peguam Harvinderjit Singh yang secara tiba-tiba mengganggu sesi pemeriksaan balasnya terhadap Najib.

Beliau memberitahu Harvinderjit, yang memasuki mahkamah ketika pertengahan prosiding, bahawa pembelaan telah diberikan “peluang” ketika melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan.

Najib berdepan pertuduhan penyalahgunaan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Beliau juga didakwa dengan 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan 3 pertuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada bekas unit 1MDB.

Perbicaraan diteruskan di hadapan Nazlan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.