
Ia berikutan penafian yang dibuat bekas timbalan ketua menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan bahawa langkah mengeluarkan pas sementara itu bukan antara cadangan yang diberikan oleh RCI.
Dalam hantaran di Facebook, Azis berkata RCI telah mencadangkan penubuhan 2 jawatankuasa untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah, iaitu Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Induk (JKPWAS-Induk) dan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Teknikal (JKPWAS-Teknikal).
“Ketika JKPWAS-Teknikal bermesyuarat pada 12 Mei 2015 yang dipengerusikan Pairin sendiri, jawatankuasa itu mengambil maklum cadangan pengurusan menangani isu pendatang asing tanpa izin daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), antaranya pelaksanaan Pas Residen Sabah dipercepatkan bagi mengelakkan risiko pemalsuan dokumen,” katanya.
Beliau berkata, melalui mesyuarat jawatankuasa itu, cadangan tersebut telah dibawa ke JKPWAS-Induk pada 31 Julai 2015 yang dipengerusikan secara bersama oleh bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.
Ujarnya, mesyuarat tersebut antaranya bersetuju Pas Residen Sabah diberikan kepada pemegang-pemegang dokumen Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
Mesyuarat itu juga, kata beliau, menegaskan agar prosedur operasi standard (SOP) permohonan Pas Residen Sabah perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan keupayaan pemohon.
“Jawatankuasa khas yang sekarang ini dikenali sebagai ‘task force’ ditubuhkan untuk meneliti keseluruhan aspek bagi cadangan pemerluasan Pas Residen Sabah yang diketuai oleh ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan setiausaha kerajaan negeri Sabah,” katanya.
Menurut Azis lagi, pada 16 Mei 2016, mesyuarat JKPWAS-Induk yang dipengerusikan oleh Zahid dan Musa mengambil maklum penambahbaikan pelaksanaan Pas Residen Sabah, antaranya menukar nama kepada Pas Residen Sementara Sabah.
Ujarnya, objektif penambahbaikan dokumen itu adalah untuk menyelesaikan masalah kepelbagaian dokumen pengenalan diri warga asing di Sabah.
“Butiran minit mesyuarat semua ada dan saya sudah jawab dalam penggulungan perbahasan Dewan Negara. Pairin mungkin sudah lupa, saya faham kerana faktor usia,” katanya.