SPR tidak terima perintah mahkamah berhubung rayuan Anifah, kata Azhar

SPR tidak terima perintah mahkamah berhubung rayuan Anifah, kata Azhar

Hari ini SPR menetapkan PRK Parlimen Kimanis, Sabah adalah pada 18 Jan, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 4 Jan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, tanpa perintah mahkamah, PRK Kimanis perlu diadakan dalam masa 60 hari dari 10 Dis 2019 sebelum berakhir pada 7 Feb, 2020.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima apa-apa perintah daripada mahkamah berhubung hasrat penyandang kerusi Anifah Aman mengenai pendengaran semula selepas rayuan untuk kerusi Parlimen Kimanis ditolak Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, mengikut undang-undang dan keputusan mahkamah sebelum ini, sesuatu perintah mahkamah akan sah dan perlu dilaksanakan sehingga ia diketepikan mahkamah yang tertinggi ataupun ada apa-apa perintah untuk menggantung perintah berkenaan.

“Sekarang kita tidak ada apa-apa perintah penggantungan atau mengetepikan perintah yang telah dibuat.

“Jadi kita akan teruskan prosiding seperti yang diperlukan di bawah undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas sidang media berhubung pengurusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis di sini, hari ini.

Hari ini, SPR menetapkan PRK Parlimen Kimanis, Sabah pada 18 Jan manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 4 Jan.

Ditanya sama ada PRK akan diteruskan jika Anifah membuat rayuan semula, Azhar berkata, ia bergantung kepada keputusan mahkamah dan perintah yang dibuat mahkamah.

“Tetapi setakat ini, tidak ada perintah berkenaan jadi kita akan teruskan kerana mengikut perlembagaan cuma ada 60 hari dari 10 Dis, 2019 untuk memenuhi kekosongan di Parlimen itu.

“Jadi perlu diadakan pilihan raya dan menyelesaikannya dalam masa 60 hari sebelum berakhir 7 Feb, 2020,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.