
Nahas itu berlaku di kuari emas Ndiyo, kira-kira 40 kilometer (25 batu) dari Watsa, pekan utama dalam wilayah Upper-Uele, menurut Dieudonné Apasa, Menteri Perlombongan wilayah Haut-Uele.
Menteri itu berkata nahas tersebut berlaku susulan tanah runtuh akibat hujan lebat yang berterusan.
“Pada mulanya, kami fikir ketidakpatuhan terhadap perundangan dan amalan larangan memasuki terowong menjadi punca nahas itu.
“Bagaimanapun, maklumat yang ada menunjukkan bahawa ia disebabkan tanah runtuh. Mereka (pelombong) berada di kedalaman kurang 20 meter sedangkan had sah yang ditetapkan ialah 30 meter. Jadi punca utama ialah hujan lebat sejak kebelakangan ini,” kata Apasa dipetik daripada laman sesawang Actualite.cd.
Mayat mangsa telah dikeluarkan dari kedalaman 12 meter di kuari itu dan dihantar ke pelbagai kawasan termasuk Watsa, Durba, Moku dan Ngangazo, katanya.
Pihak berkuasa tempatan berkata angka kematian adalah berdasarkan penilaian sementara.
Nahas perlombongan sering berlaku di lombong haram di benua itu disebabkan oleh penggunaan peralatan asas dan kaedah kecil-kecilan yang tidak menjamin piawaian keselamatan.
Sekurang-kurangnya 16 orang maut selepas lombong emas Kampene di timur Congo runtuh pada Oktober.
Nahas itu juga disebabkan oleh insiden tanah runtuh.
Dalam bulan sama, kira-kira 30 pelombong maut selepas sebuah lagi lombong emas di Chad yang terletak berhampiran sempadan Libya runtuh.