Zuraida setuju gesaan Anwar ahli PKR guna saluran parti

Zuraida setuju gesaan Anwar ahli PKR guna saluran parti

Semalam Anwar menggesa ahli PKR menghentikan perbalahan dalaman dengan serta-merta kerana rakyat 'sudah bosan'.

Naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin.
KUANTAN:
Kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mahu perbuatan berbalas kenyataan mengnenai isu dalaman parti dihentikan disifatkan dapat mengelakkan pihak tidak terlibat daripada terus mengeluarkan kenyataan.

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata, beliau bersetuju dengan gesaan Anwar supaya semua pimpinan dan anggota parti menggunakan saluran dalaman untuk mengemukakan pandangan kerana ia dapat “menenangkan keadaan”.

“Saya setuju kerana bila saya diajukan soalan, saya juga mengatakan bahawa presiden memerlukan masa untuk bertenang …jadi eloklah untuk semua orang juga bertenang.

“Pihak yang tidak terlibat dan tidak ada ‘direct’ penglibatan dengan parti juga tak payah komen dan jika mereka masih mengeluarkan komen bermakna mereka mempunyai kepentingan sendiri,” katanya.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan rumah mampu milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini, hari ini.

Semalam, Anwar menggesa anggota PKR menghentikan perbalahan dalaman dengan serta-merta dan menambah, rakyat yang meletakkan kepercayaan kepada mereka sudah bosan dengan kenyataan sedemikian.

Semasa ditanya jika beliau akan menggunakan saluran parti, termasuk Lembaga Disiplin untuk menyuarakan pandangan, Zuraida menjawab, “saya tidak akan bersuara, saya menunggu mereka memanggil saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.