Mahkamah benar pelakon Farid Kamil tangguh hukuman penjara

Mahkamah benar pelakon Farid Kamil tangguh hukuman penjara

Tetapi, Mahkamah Rayuan mengenakan syarat jaminan RM10,000 dan seorang penjamin warganegara Malaysia serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Farid Kamil dijatuhkan hukuman penjara 9 bulan atas kesalahan menggunakan dadah pada Januari 2018. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari dibenar menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 9 bulan yang dijatuhkan terhadapnya kerana menggunakan dadah, sehingga rayuannya selesai.

Pada pertengahan bulan lalu, Farid diperintahkan menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei lepas dan dia menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya menangguhkan hukuman penjara itu sehingga kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu selesai.

Panel 3 Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Yaacob Md Sam membenarkan penangguhan itu dengan mengenakan syarat jaminan RM10,000 dan seorang penjamin warganegara Malaysia serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Bagaimanapun, pemohon boleh memohon pasport diserahkan sementara kepadanya jika ada keperluan,” kata Yaacob yang bersidang dengan Hakim P Ravinthran dan Abu Bakar Jais.

Terdahulu, peguam Kee Wei Lon memohon penangguhan itu sementara kebenaran untuk merayu didengar pada 7 Jan depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail tidak membantah permohonan itu.

Sebelum ini, Farid sudah menjalani hukuman itu di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Majistret tidak membenarkan permohonannya untuk menagguhkan pelaksanaan hukuman.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi sama pada 19 Jun lalu membenarkan permohonan Farid menangguhkan pelaksanaan hukuman yang sedang dijalaninya sehingga rayuannya selesai dan dia dibebaskan dari penjara.

Sepanjang perbicaraan bermula 18 Dis 2018 di Mahkamah Majistret, 5 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala pelakon itu memilih untuk berdiam diri.

Mengikut peruntukan undang-undang, sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan lain kecuali menyabitkan tertuduh atas dakwaan itu.

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu “11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid” di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 4.30 petang 11 Jan 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Turut hadir di mahkamah isterinya yang juga pelakon Diana Danielle.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.