
P Uthayakumar dalam kenyataan hari ini berkata, Thanaletchumy Munusamy, 60, ibu kepada Moganambal Govindasamy, juga berniat membunuh diri.
“Thanaletchumy menangis setiap hari, dia tidak tahan dengan seksaan jiwa dan penderitaan lagi.”
Moganambal, penduduk tetap United Kingdom, bersama 3 lelaki dalam sebuah kereta – suaminya dari Sri Lanka yang juga penduduk tetap UK, Janarthanan Vijayaratnam, adiknya Thavaselvan dan Maghendran Santhirasegaran – di Jalan Batu Arang pada 14 Sept lalu apabila mereka terbabit dalam satu insiden berbalas tembakan dengan polis.
Tiga lelaki itu ditembak mati, tetapi Moganambal tidak ditemui.
Polis mendakwa mereka terbabit dalam insiden kejar-mengejar sejauh 7km pada awal pagi itu selepas kumpulan lelaki terbabit enggan berhenti dekat pinggir bandar Rawang.
Mereka berkata, seorang daripada suspek itu melepaskan tembakan ke arah polis yang memaksa mereka berbalas tembakan untuk mempertahankan diri kerana menganggap kumpulan berkenaan ialah perompak.
Polis berkata, Thavaselvan dan Maghendran dikehendaki kerana merupakan ahli kongsi gelap 08 di Rawang, manakala Vijayaratnam tinggal melebihi tempoh visa – dakwaan yang dinafikan keluarganya.
Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaluddin menafikan seorang wanita berada dalam kereta itu, tetapi mereka membuka kes orang hilang untuk menyiasat dakwaan kehilangan Moganambal.
Hari ini, Mahkamah Sesyen di Shah Alam mengarahkan inkues 3 hari ke atas kes itu bermula 22 Dis ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmad berkata, semua pihak terbabit, termasuk pegawai polis dan anggota berpangkat rendah, akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam inkues itu.