Kerajaan gagal rampas lebih RM1 juta dari Umno Kedah, Habib Jewels

Kerajaan gagal rampas lebih RM1 juta dari Umno Kedah, Habib Jewels

Mahkamah Tinggi berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya terhadap 2 entiti itu yang dinamakan SPRM sebagai penerima dana berkaitan 1MDB.

Hakim berkata, Habib Jewels menunjukkan resit berkaitan untuk membuktikan mereka menjual produk kepada Najib Razak secara jujur pada 23 Jun 2014.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucutkan hak ke atas RM1.15 juta dari Habib Jewels dan Umno Kedah atas dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika menolak permohonan itu, berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes pelucuthakan ke atas 2 entiti itu terhadap imbangan kebarangkalian.

Katanya, RM1.05 juta yang cuba dirampas pihak pendakwaan dari Umno Kedah tidak boleh dikatakan sebahagian daripada RM15 juta yang diberikan Najib kepada parti negeri itu pada 2012 dan 2013.

“Bukti menunjukkan sehingga Jun 2013, baki dalam akaun hanya kira-kira RM1.4 juta.

“Baki itu berkurangan kepada hanya RM58,000 pada Januari 2017. Kemudian pada 2018, 4 bulan sebelum pilihan raya umum, RM27 juta dimasukkan ke akaun mereka dan pada masa sama RM26 juta dikeluarkan.

“Jadi, tidak boleh kata RM1.05 juta yang mahu dilucutkan hak oleh timbalan pendakwa raya ialah sebahagian daripada RM15 juta,” kata Nazlan sambil menambah RM15 juta yang diterima Umno Kedah tiada lagi dalam akaun.

Bagi Habib Jewels pula, hakim berkata, syarikat itu menunjukkan penjualan produk mereka kepada Najib pada 23 Jun 2014 dilakukan secara jujur kerana terdapat resit berkaitan.

“Tiada alasan untuk syarikat itu percaya wang daripada Najib datang daripada aktiviti tidak sah.”

Peguam G Nadaraja mewakili Umno Kedah, manakala Khoo Guan mewakili Habib Jewels.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai dan Abdul Rashid Sulaiman mewakili kerajaan.

Di sebuah lagi mahkamah, kerajaan berjaya merampas RM407,011.46 daripada Yayasan Penyelidikan Transformasi.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin yang mereka menerima sepucuk surat daripada organisasi itu pada 9 Julai lalu yang bersetuju menyerahkan wang berkenaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha mendapatkan semula RM270 juta dana 1MDB daripada 41 entiti dan individu yang didakwa dipindahkan daripada akaun bank Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.