
Selepas diluluskan Parlimen, Presiden India Ram Nath Kovind menandatanganinya pada Khamis yang menjadikannya satu undang-undang.
Ia memberikan kewarganegaraan kepada 6 minoriti dari Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh, iaitu semua negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam di Asia Selatan, yang menetap di India lebih 5 tahun.
Orang Islam dipinggirkan daripada senarai layak memohon kewarganegaraan, yang menimbulkan kebimbangan ia adalah satu lagi tamparan kepada kumpulan minoriti itu, yang di bawah kerajaan pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP), berdepan serangan penganut Hindu.
Amarinder Singh, ketua menteri Punjab, enggan melaksanakan rang undang-undang itu.
“Mana-mana perundangan yang berhasrat memecah-belah orang ramai melalui agama adalah tidak sah, tidak beretika dan tidak berperlembagaan.
“Kekuatan India terletak pada kepelbagaiannya dan #CABBill2019 melanggar prinsip asas perlembagaan. Oleh itu, kerajaan saya tidak akan membenarkan rang undang-undang tersebut dilaksanakan di Punjab,” katanya menerusi Twitter.
Pinarayi Vijayan, ketua menteri Kerala berkata, langkah untuk memberikan kewarganegaraan berdasarkan agama adalah terjumlah kepada penolakan perlembagaan.
“Rang Undang-Undang Pindaan Kewarganegaraan adalah satu serangan ke atas ciri sekular dan demokratik India.
“Langkah bagi memutuskan kewarganegaraan berdasarkan agama terjumlah kepada penolakan perlembagaan. Ia hanya akan menyebabkan negara kita mengundur.
“Kebebasan yang kita perjuangkan dengan bermati-matian kini menjadi taruhan. Demokrasi kita dalam keadaan bahaya …BJP memberikan bayangan jelas bahawa dasar politik utama mereka ialah komunalisme. Kita perlu menentang,” katanya.
Ketua menteri Bengal Barat Mamata Banerjee turut menyuarakan bantahan terhadap undang-undang itu.
“Kami bersama anda dan selagi kami bersama anda, tiada siapa boleh mengenakan apa-apa terhadap anda,” katanya pada Isnin di satu perhimpunan awam, lapor stesen penyiar NDTV.