
Bercakap kepada FMT, Aziz Kaprawi berkata penggabungan itu adalah langkah regresif kerana ia akan menghapuskan semak dan imbang yang dilaksanakan sejak Mavcom ditubuhkan pada 2015 untuk mengambil alih fungsi yang dimainkan bahagian penerbangan kementerian pengangkutan.
“Mavcom ditubuhkan kerana pentadbiran terdahulu mahu mempunyai badan yang lebih bebas untuk mengawal selia urusan komersial berkaitan dengan penerbangan awam,” katanya.
Ia bertanggungjawab kepada perdana menteri dan ia yang melantik pengerusinya, kata Aziz.

Beliau berkata lembaga Mavcom terdiri daripada mereka yang dilantik oleh pejabat perdana menteri dan kementerian pengangkutan dan berkata ini memastikan semak dan imbang yang baik kerana kuasa tidak tertumpu di tangan menteri pengangkutan.
Aziz berkata pemisahan kuasa juga terbukti dalam sistem pengangkutan jalan raya, memetik peranan berbeza yang dimainkan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.
Semalam, kementerian pengangkutan mengesahkan laporan bahawa Mavcom akan dibubarkan dan fungsi utamanya akan dipindahkan kepada CAAM. Ini bermakna Akta Mavcom akan dimansuhkan dan Akta CAAM akan dipinda.
Aziz berkata industri penerbangan Malaysia tidak berkembang dengan cepat sebelum penubuhan Mavcom kerana kuasa tertumpu di satu tempat dan ini menarik campur tangan politik.
Bagaimanapun, perunding sistem pengangkutan Rosli Azad Khan mempunyai pandangan yang berbeza, mengatakan penggabungan itu adalah langkah yang baik kerana banyak fungsi Mavcom dan CAAM bertindih.

Beliau berkata penubuhan Mavcom membawa kepada keadaan kekeliruan dalam kalangan pemain sistem penerbangan dan perkhidmatan aerodrome.
“Bukan sahaja terdapat pertindihan fungsi dan tanggungjawab, beberapa peruntukan yang terkandung dalam Akta Mavcom adalah samar-samar, terlalu umum dan kurang tepat,” katanya kepada FMT.
“Ia mengandungi peruntukan seperti ‘menilai prestasi syarikat penerbangan’, ‘mempertimbangkan kesan pengguna’, ‘kedudukan pasaran dominan’, ‘kewajipan perkhidmatan awam’ dan sebagainya, yang semuanya sukar untuk dipastikan dan dikuatkuasakan.”
Rosli berkata kuasa untuk menetapkan caj aeronautik tidak harus ditempatkan dengan Mavcom tetapi CAAM, kerana ia lebih berkaitan dengan aspek teknikal penerbangan.
“Selain itu, mempunyai lebih daripada satu badan kerajaan untuk mengawal selia entiti milik kerajaan bukan merupakan amalan yang baik,” katanya, merujuk kepada peranan yang dimainkan Mavcom dan CAAM dalam mengawal selia Malaysia Airlines dan Malaysia Airports Holdings Berhad.
“Peranan bertindih mereka tidak diperlukan dan tidak berfungsi dengan baik dalam industri penerbangan.”