
Mohd Zaid Zulkafli memohon maaf kepada Tan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache atas tiga kenyataan fitnah di akaun Facebook pada 3 dan 4 Mac lalu.
“Saya memohon maaf atas kesilapan saya kerana mengaitkan beliau dengan individu menggunakan nama ‘Alvin Chow’ yang menghina nabi, dan membuat laporan polis terhadapnya,” katanya.
Zaid juga berjanji tidak akan mengulangi atau menerbitkan lagi kenyataan fitnah terhadap Tan.
“Saya akan memadam hantaran Facebook yang saya buat pada kedua-dua tarikh dengan segera,” katanya.
Hakim mengucapkan terima kasih kepada Zaid dan Tan kerana perkara itu diselesaikan secara baik.
Tan kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau menerima permohonan maaf Zaid dan berharap kes itu menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak membuat kenyataan tanpa memeriksa terlebih dahulu fakta sebenar.
Penjaja makanan, Chow Mun Fai, yang menggunakan nama “Alvin Chow” di media sosial, dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 6 Ogos lalu atas dakwaan menghina nabi.
Tan memfailkan saman fitnah terhadap Zaid pada 2 Mei selepas lelaki itu mengaitkan dirinya dengan pengguna media sosial tersebut.
Beliau berkata hantaran Facebook Zaid telah mencemarkan nama baiknya sebagai Ahli Parlimen PKR dan beliau telah dipersenda akibat tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan “Alvin Chow”.
Peguam Abd Halim Abdul Karim dan Nur Izzaida Zamani mewakili Tan manakala Zaid diwakili peguam Logendran Narayanan.