
Pertuduhan terhadap kesemua 373 orang kena tuduh (OKT) itu dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh 4 jurubahasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Kesemua mereka yang tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 7.30 pagi, dibawa masuk ke bilik mahkamah untuk dibacakan pertuduhan secara berperingkat membabitkan 40 orang dalam setiap kumpulan.
Dalam prosiding di hadapan hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah yang berlangsung lebih 3 jam itu, 321 daripada 373 OKT berkenaan mengaku bersalah, dengan 290 daripada mereka dijatuhi hukuman penjara 4 bulan dari tarikh tangkap.
Sementara 31 orang lagi dikenakan denda RM5,000 atau penjara 4 bulan jika gagal membayar denda serta diusir pulang ke negara asal.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih 6 sebatan jika sabit kesalahan.
Tuduhan terhadap 52 OKT lagi akan disebut semula pada 10 Jan depan untuk semakan ketelusan pasport. Kesemua mereka akan ditempatkan sementara di depot Imigresen Bukit Jalil.
Pendakwaan dilakukan oleh pasukan pendakwa JIM diketuai pegawai pendakwa V Kasthuri Bai.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKT yang ditahan pada 3.30 petang, 20 Nov lepas di Wisma Mustapha Kamal, Cyberjaya didapati memasuki dan berada di negara ini tanpa pas yang sah.
Pada 20 Nov lepas, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah bangunan 6 tingkat di Cyberjaya kerana disyaki menempatkan ahli sindiket penipuan dalam talian, di mana 680 warga China ditahan, manakala lebih 100 orang lagi berjaya melarikan diri.