Parti pembangkang Thailand berdepan kemungkinan dibubarkan

Parti pembangkang Thailand berdepan kemungkinan dibubarkan

Ia susulan pemimpin parti FFP melanggar undang-undang pilihan raya dengan membekalkan pinjaman kepada parti pimpinannya.

Pemimpin parti FFP Thanathorn Juangroongruangkit. (Gambar Bloomberg)
BANGKOK:
Parti pembangkang Thailand Future Forward Party (FFP) berdepan kemungkinan dibubarkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Thai (EC) semalam memutuskan pemimpin parti itu melanggar undang-undang pilihan raya dengan membekalkan pinjaman kepada parti pimpinannya.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan ringkas berkata tindakan pemimpin parti FFP Thanathorn Juangroongruangkit menyalahi Seksyen 72 Organic Law on Political Parties, dengan memberikan pinjaman berjumlah 191 juta baht.

Menurut kenyataan itu pihak suruhanjaya menganggap penjaman itu sebagai sumbangan derma, yang dihadkan kepada 10 juta baht.

“EC melihat parti berkenaan (FFP) mengambil pinjaman 191 juta baht daripada Thanathorn dan ia menyalahi undang-undang pilihan raya.

“Majoriti (anggota EC) bersetuju untuk menghantar 1 petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan untuk menimbang agar membubarkan parti itu mengikut seksyen Section 92 (3) dan Seksyen 93 Organic Law,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu EC mengadakan mesyuarat bagi memutuskan soal legitimasi pinjaman yang diberikan oleh Thanathorn kepada parti itu.

Satu inkuiri telah dilancarkan selepas aktivis Srisuwan Janya meminta EC menyiasat Thanathorn, yang juga pengasas bersama FFP kerana memberikan pinjaman 191 juta baht kepada parti itu dengan tempoh pembayaran balik pinjaman selama 3 tahun.

Bulan lepas Thanathorn, 40, dilucutkan daripada Anggota parlimen selepas mahkamah mendapati beliau bersalah kerana melanggar undang-undang pilihan raya.

Tokoh pembangkang itu didapati bersalah kerana melanggar Seksyen 98(3) Perlembagaan dengan memegang saham dalam V-Luck Media Company, semasa menjadi calon dalam pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac.

Susulan pilihan raya umum, FFP menjadi parti ketiga terbesar di negara itu dan menjadi sebahagian daripada blok pembangkang.

Ketika ini FFP memiliki 79 ahli parlimen, dan sekiranya ia dibubarkan, semua ahli parlimen berkenaan dikehendaki mencari 1 parti politik baharu dalam tempoh 60 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.