Sayap Pemuda mahu PH tanding di Kimanis

Sayap Pemuda mahu PH tanding di Kimanis

Ketua Pemuda PH Sabah, Raymond Ahuar menggesa mesyuarat antara PH dan Warisan untuk menentukan pilihan calon.

Ketua pemuda PH Sabah, Raymond Ahuar (kiri) bersama pemimpin sayap pemuda PH lain dalam satu mesyuarat malam tadi.
KOTA KINABALU:
Pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (PH) di Sabah mahu gabungan itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil Kimanis, yang menyaksikan Warisan tewas tipis pada pilihan raya umum lalu.

Kecuali DAP, semua pemimpin Pemuda PH negeri itu bersetuju menggesa pemimpin parti menyambut idea tersebut, hasil daripada mesyuarat malam tadi.

Pemuda DAP mengatakan mereka neutral terhadap perkara itu. Warisan pula bukan sebahagian daripada PH.

“Ini adalah konsensus yang dicapai oleh rakan-rakan saya daripada parti-parti dalam PH,” kata Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, yang juga mengetuai Pemuda PH negeri.

Beliau menggesa mesyuarat antara PH dan Warisan, yang mengetuai kerajaan negeri, diadakan untuk menentukan pilihan calon.

Minggu lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan Kimanis pada PRU tahun lalu.

Kerusi Parlimen itu sebelum ini dimenangi bekas menteri luar, Anifah Aman yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), dengan hanya majoriti 156 undi menewaskan Karim Bujang daripada Warisan.

Karim, yang mengetuai Warisan Bahagian Kimanis, berkata beliau bersedia untuk bertanding di kerusi itu semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.