
Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.
“Pertukaran banduan Malaysia dan Indonesia ini dibangkitkan Presiden Jokowi menerusi program pengurusan kepenjaraan kedua-dua negara,” katanya semalam yang dalam rangka lawatan kerjanya ke Indonesia sejak kelmarin.
Pertukaran banduan itu bermaksud penghantaran pulang banduan kedua-dua negara untuk ditempatkan di penjara negara asal.
Muhyiddin berkata, dalam pertemuannya dengan Menteri Hukum (Undang-undang) dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly, Jakarta bersedia melaksanakan program itu, namun perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perundangan.
“(Indonesia) belum ada undang-undang atau punca kuasa untuk melaksanakan program itu dan pegawai kementerian berkaitan akan memperhalusi cadangan pelaksanaannya nanti,” kata Muhyiddin.
Ketika ini, terdapat 300 rakyat Malaysia di penjara Indonesia, manakala lebih 5,000 rakyat Indonesia ditempatkan di penjara di Malaysia.