
Letusan pada Isnin lalu di pusat tarikan pelancong yang popular di sebelah pantai Pulau Utara itu menyebabkan kematian 6 individu dan pihak berkuasa percaya terdapat 8 lagi individu yang masih hilang di pulau tersebut.
Seramai 47 orang berada di pulau berkenaan ketika letusan berlaku, dan ramai yang terselamat walaupun tercedera dan mengalami kelecuran serius.
Menteri Politik Stuart Nash berkata beliau memahami kekecewaan pihak keluarga yang mahukan ahli keluarga mereka ditemukan dan dibawa pulang ke tempat masing-masing, tetapi terpaksa mempertahankan tindakan lewat menghantar bantuan itu.
Nash berkata ahli seismologi meramalkan terdapat 50% lagi kemungkinan berlaku letusan di pulau tersebut.
Katanya, terdapat gas-gas beracun dari lohong gunung berapi dan letusan itu menyebabkan pulau tersebut diselimuti lapisan tebal abu asid.
“Ia suatu kegilaan jika kami menghantar penyelamat ke White Island dalam keadaan yang tidak selamat untuk mereka,” katanya kepada Radio New Zealand.
“Kami mempunyai tanggungjawab terhadap kakitangan polis New Zealand untuk memastikan apa-apa keadaan yang kami letakkan, adalah selamat.”
Nash berkata tinjauan udara yang dibuat sejurus mangsa terselamat melarikan diri, mendapati tiada siapa yang hidup di pulau berkenaan.
Polis mahu menggunakan dron untuk mengukur tahap gas toksik di ruang udara dan menentukan sama ada ia selamat untuk kembali, tetapi keadaan berangin menghalang mereka untuk diterbangkan ke sana.
“Cuaca pasti kelihatan lebih baik di Whakatane hari ini,” kata Nash.
Antara mereka yang terperangkap di pulau itu sewaktu letusan tersebut berlaku secara tiba-tiba ialah pelancong dari Australia, Amerika Syarikat, Britain, China, Jerman dan Malaysia, serta pemandu pelancong tempatan.
Jumlah kematian meningkat kepada 6 orang semalam selepas seorang mangsa yang cedera meninggal dunia di sebuah hospital di Auckland dan Nash berkata bilangannya mungkin meningkat lagi.
Ketika ini, sekurang-kurangnya 26 orang yang kelecuran teruk sedang dirawat dan Nash berkata terdapat segelintir yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti.