Putrajaya pertimbang liberalisasi dasar kabotaj di Malaysia Timur

Putrajaya pertimbang liberalisasi dasar kabotaj di Malaysia Timur

Menteri pengangkutan berkata, kos pengangkutan tinggi bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan kenaikan harga barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.
LONDON:
Kerajaan akan mempertimbangkan semula isu liberalisasi dasar kabotaj di Sabah, Sarawak dan Labuan berikutan pemerhatian menyeluruh oleh Kementerian Pengangkutan, kata Menterinya, Loke Siew Fook.

Dasar kabotaj di Malaysia yang bermula 1980, dimansuhkan pentadbiran terdahulu pada 1 Jun 2017, berikutan kebanyakan penggiat industri berpendapat dasar itu perlu dipersalahkan kerana harga barangan lebih tinggi di Malaysia Timur disebabkan kos penghantaran.

Walaupun Loke tidak menyatakan tarikh akhir, beliau berkata, kementeriannya sentiasa mengkaji isu itu dan percaya kos pengangkutan tinggi bukan satu-satunya faktor yang menaikkan harga barangan di Malaysia Timur.

“Malah, kami turut memahami Sarawak mahu dasar kabotaj dikembalikan kerana ia perlu melindungi industri pembinaan kapalnya dan penggiat tempatan,” katanya kepada Bernama di luar perhimpunan Pertubuhan Maritim Antarabangsa ke-31 di London baru-baru ini.

Pengecualian itu yang diperkenalkan untuk mengurangkan kos barangan tinggi, membolehkan kapal asing bergerak bebas mengangkut kargo dalam negara antara pelabuhan di Semenanjung dan Malaysia Timur dengan had pemindahan domestik antara pelabuhan di Malaysia Timur.

Sebelum itu, kapal asing perlu didaftar di Malaysia untuk memuat dan memunggah kargo di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Sarawak menukar pendiriannya baru-baru ini kerana dasar itu dilihat mewujudkan persaingan sengit antara kapal asing dan domestik.

Laporan berasaskan analisis yang dijalankan antara Januari dan Julai 2019 menunjukkan kapal asing menyumbang 12.4% atau 2,504 unit bersamaan 20 kaki (TEU), daripada pengangkutan kargo kontena laut tempatan daripada jumlah 20,279 TEU dari Pelabuhan Kuching ke Pelabuhan Klang.

Dari segi pecahan, sebanyak 8.1% daripada jumlah itu ke Pelabuhan Klang, 1.5% daripada TEU merupakan pemindahan ke pelabuhan Malaysia tempatan dan 2.8%, pemindahan ke pelabuhan asing.

Isu dasar kabotaj dibincangkan secara meluas dalam industri tempatan, dengan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia menyifatkan langkah meliberalisasikannya akan memberi impak negatif kepada industri dan syarikat perkapalan tempatan kerana kapal asing dari Singapura, China, Thailand dan Indonesia, mula memenuhi perairan Malaysia.

Bagaimanapun, Sabah mahu pengecualian itu kekal kerana dasar kabotaj membebankan rakyatnya dan menjejaskan pertumbuhan industri negeri itu.

Persekutuan Industri Sabah dipetik sebagai berkata, kemasukan syarikat perkapalan antarabangsa seperti Maersk Line, syarikat perkapalan terbesar di dunia, selepas pengecualian kabotaj memberi manfaat kepada perniagaan di Sabah berikutan caj untuk menghantar kontena dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sudah dikurangkan.

Tahun lalu, Loke memberi jaminan kepada kerajaan Sabah yang Putrajaya tidak akan mengembalikan dasar kabotaj.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengkaji impak daripada penggantungan dasar kabotaj, tetapi tidak mempertimbangkan untuk melaksanakannya semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.