Polis Hong Kong matikan bom paku ditemui di kolej

Polis Hong Kong matikan bom paku ditemui di kolej

Bom itu yang menggunakan bahan letupan berasaskan ammonium nitrat, turut ditambah paku bagi meningkatkan tahap kemusnahannya.

Pegawai polis Hong Kong daripada skuad pelupusan bom memakai alat perlindungan bom. (Gambar AP)
HONG KONG:
Polis Hong Kong mendakwa mematikan 2 bom paku buatan sendiri yang ditemui dalam tanah di sebuah kolej dan sedang menyiasat sama ada peranti letupan itu mempunyai kaitan dengan pergolakan politik di bandar tersebut.

Pegawai pelupusan bom bergegas ke Kolej Wah Yan di daerah Wanchai selepas seorang pekerja pembersihan terjumpa peranti tersebut, kata polis.

“Bom itu lengkap, berfungsi sepenuhnya dan sedia untuk digunakan,” kata pegawai pelupusan bom kanan Alick McWhirter kepada pemberita malam semalam.

McWhirter berkata kedua-dua bom tersebut mengandungi 10kg bahan letupan tinggi dan alat kawalan jauh yang menggunakan telefon bombit.

Bom itu yang menggunakan bahan letupan berasaskan ammonium nitrat, turut ditambah paku bagi meningkatkan tahap kemusnahannya.

“Kedua-dua peranti ini hanya mempunyai satu fungsi, untuk membunuh dan menyebabkan kecederaan teruk,” kata McWhirter.

Polis berkata, mereka percaya kolej itu bukanlah sasaran pembuat bom, kemungkinan peranti itu disembunyikan di sana untuk kegunaan kemudian.

Penemuan itu berlaku di kala Hong Kong terjejas teruk akibat protes ganas yang berlarutan selama 6 bulan, walaupun 3 minggu kebelakangan ini menyaksikan pertembungan antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa semakin berkurangan.

Ahad lalu, perarakan besar-besaran diadakan sebagai bantahan kepada pihak berkuasa China yang didakwa menghalang kebebasan kota raya itu.

Sepanjang kejadian tunjuk perasaan, perusuh yang ekstrem menggunakan batu bata, bom petrol dan juga panah sebagai senjata untuk berperang dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.

Sehingga hari ini, 3 penunjuk perasaan mati ditembak dan ramai yang tercedera.

Polis berkata, dalam satu kejadian di daerah Mongkok pada Oktober lalu, satu bom yang dikawal dari jarak jauh menggunakan telefon bimbit diletupkan, namun tiada yang cedera.

Pegawai kanan polis, Li Kwai-wah berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada bom yang digunakan semasa kejadian itu dan bom yang baru ditemui mempunyai kaitan.

Bom di kolej tersebut ditemukan sehari selepas polis menemui pistol separa automatik dan lebih 100 peluru dalam satu serbuan terhadap penunjuk perasaan.

Lima individu dalam lingkungan awal 20-an dihadapkan ke mahkamah semalam dan dituduh dengan niat mahu mencederakan, ikat jamin mereka ditolak.

Dua lagi dituduh memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.