
“Kemudahan ‘cracking and leaching’ Lynas di Kalgoorlie akan meningkatkan konsentrat nadir bumi di Gunung Weld Lynas yang kini dieksport ke kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Malaysia,” kata syarikat Australia itu dalam kenyataan semalam.
Pengeluar nadir bumi ke-2 terbesar di dunia itu berdepan desakan pencinta alam dan ahli politik di Malaysia selama beberapa tahun untuk menutup kilangnya di Gebeng, Pahang kerana bimbang sisa yang dihasilkannya akan menjejaskan kesihatan rakyat.
Walaupun ia adalah komponen penting untuk pelbagai barangan daripada skrin telefon bimbit kepada jet pejuang disebabkan konduktiviti elektrik tingginya, produk sampingan nadir bumi termasuk unsur radioaktif seperti torium, uranium dan logam berat.
Putrajaya bersetuju memperbaharui lesen Lynas selama 6 bulan pada 15 Ogos lalu dengan satu daripada syarat ialah syarikat itu perlu membina dan memulakan operasi kemudahan “cracking and leaching” di luar negara – proses utama untuk mengeluarkan sisa radioaktif – dalam masa 4 tahun.
Lynas berkata, Kalgoorlie dipilih daripada 2 lokasi yang disenarai pendek dalam wilayah itu disebabkan usaha wajar terperinci, jarak dekat bandar itu dari lombong Lynas di Gunung Weld, tenaga kerja berkemahiran dan sejarah dalam industri perlombongan serta pemprosesan.
Lynas juga sedang mencari tapak untuk pemprosesan peringkat berikut (pengeluaran pelarut huluan) di Australia Barat.