
Suri rumah itu menyaman polis dan kerajaan pada 2016 untuk ganti rugi akibat serangan, serang sentuh si mati, keingkaran tanggungjawab, kecuaian, penahanan salah dan konspirasi.
Dharmendran ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api. Dia ditahan dalam lokap selama 10 hari.
Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan membebaskan 4 anggota polis yang didakwa terbabit dalam kematiannya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Zaidi Ibrahim berkata, Marry sudah membuktikan anggota polis itu menyerang suaminya.
“Beliau turut membuktikan serangan itu menyebabkan kematian Dhamendran,” katanya sambil menambah beliau sudah membuktikan terdapat cubaan menutup kes itu.
Peguam Marry, N Surendran gembira balu Dhamendran mendapat keadilan.
Katanya, walaupun keputusan hari ini tidak boleh menyenangkan hati mereka sepenuhnya, “sekurang-kurangnya keluarga Dhamendran mendapat sedikit keadilan, khasnya apabila mereka yang didakwa atas pembunuhannya sudah dibebaskan”.
Beliau menyifatkan pembebasan mereka sebagai “kegagalan dalam kehakiman”.
Surendran berkata, menteri dalam negeri dan polis perlu memberi perhatian terhadap penghakiman hari ini.
“(Mereka perlu) menjelaskan apa tindakan mereka terhadap hakikat ada perkara tidak betul mengenai sistem itu sehingga membolehkan anggota polis terbabit terlepas,” katanya di luar mahkamah sambil menambah defendan ialah pegawai polis berpangkat tinggi.
Beliau berkata, keputusan itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap akauntabiliti dan cara pasukan polis dikendalikan.
“Saya berharap menteri dalam negeri akan mengambil perhatian dan melakukan pembaikan dengan segera.”
Pada 2016, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dilaporkan berkata, polis menyeksa Dhamendran sebelum dia meninggal dunia, termasuk mengokot telinganya.