
SANDAKAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah hari ini menghantar pulang 763 pendatang tanpa izin Filipina.
Menurut kenyataan MKN Sabah malam ini, mereka terdiri daripada 452 lelaki, 212 wanita dan 99 kanak-kanak berumur antara 1 bulan hingga 80 tahun.
“Mereka merupakan yang ditahan melalui Pusat Tahanan Sementara Papar dan Sibuga.
“Penghantaran pulang warga berkenaan dilaksanakan di Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina,” kata kenyataan itu.
Kumpulan berkenaan antara 3,800 yang dijadualkan dihantar pulang bulan ini.
Minggu lepas, seramai 918 dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan.
MKN turut memaklumkan seramai 119 pendatang Indonesia dijadualkan dihantar pulang pada Khamis melalui Tawau.