
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, kejadian itu berlaku ekoran hujan lebat yang berterusan sejak Isnin lepas sehingga menyebabkan tanah bukit di bahagian belakang rumah panjang itu runtuh.
“Bimbang dengan keselamatan penduduk, semua mangsa daripada 11 keluarga diarah berpindah ke PPS di Dewan SMK Melugu buat sementara.
“Pihak JPBN juga mengarahkan pihak Jabatan Kerja Raya untuk membuat penilaian keadaan struktur tanah untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii dalam kenyataan berkata, beberapa kawasan di bahagian utara dan tengah Sarawak iaitu bahagian Limbang, Mukah, Kapit dan Miri (daerah Marudi) kini mula dinaiki air.
“Trend air menaik di beberapa kawasan rendah yang berdekatan dengan tali air dan limpahan air sungai daripada tebingan berdekatan, bagaimanapun keadaan terkawal dan tiada sebarang laporan pemindahan mangsa,” katanya.
Tiong berkata penduduk kampung yang terjejas dinasihati untuk sentiasa berjaga-jaga sekiranya trend air terus menaik dan hujan berpanjangan.