
Ketua Polis George Town, Soffian Santong berkata wang itu kemudian ditemui dalam sebuah kereta selepas 2 pekerja itu mengakui membuat laporan palsu.
Warga Pulau Pinang mengalami kesulitan pada waktu petang ketika polis mengadakan sekatan jalan di laluan-laluan utama, termasuk di Jambatan Pulau Pinang. Polis hanya membuka satu laluan ke arah tanah besar bagi tujuan pemeriksaan.
Soffian berkata 2 lelaki itu akan dibawa ke mahkamah majistret esok untuk reman bagi siasatan ke atas sumpah bohong.
Terdahulu, polis menerima panggilan kecemasan mendakwa 2 lelaki menaiki motorsikal menyamun kira-kira RM120,000, atau 3 hari pendapatan restoran itu, semasa sedang dibawa ke bank.
Seorang juruaudit dan seorang ketua juruwang memberitahu polis 2 lelaki menaiki motosikal warna biru, memakai ves polis dan balaklava, menghentikan mereka di satu simpang tidak jauh dari kedai, di Bukit Jambul.
Mereka minta untuk melihat kad pengenalan kedua-dua pekerja itu, sementara seorang lelaki, dengan pisau di tangan, meminta bag yang mengandungi wang tunai.
Menurut laporan polis, kakitangan itu berkata mereka mahu memasukkan RM122,555 ke dalam bank, iaitu hasil kutipan 3 hari kedai mereka dari 6 Dis hingga 8 Dis. Mereka berkata mereka selalu membawa wang tunai ke bank dengan menaiki motosikal.
Soffian berkata mereka akan disiasat kerana memberikan maklumat palsu kepada seorang penjawat awam, kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara 6 bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.