Kami setuju Warisan bertanding di Kimanis, pengerusi PH Sabah beritahu PPBM

Kami setuju Warisan bertanding di Kimanis, pengerusi PH Sabah beritahu PPBM

Ia susulan hasrat PPBM Sabah untuk bertanding pada PRK Kimanis.

Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Christina Liew.
KOTA KINABALU:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Christina Liew hari ini mempersoalkan tindakan PPBM negeri cuba meletakkan calon pada pilihan raya kecil Kimanis kerana gabungan itu sebulat suara memutuskan Warisan akan bertanding di kerusi tersebut.

Liew, yang juga timbalan ketua menteri Sabah dan ketua PKR Sabah, berkata beliau juga telah bercakap dengan ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor mengenai perkara itu.

“Kami bersetuju untuk memberi laluan kepada calon Warisan. Saya juga bercakap dengan Amanah dan DAP,” katanya kepada pemberita selepas majlis hari ini.

Beliau juga berkata pertemuan rasmi dengan parti komponen PH Sabah akan diadakan bagi membincangkan agenda menyokong calon Warisan.

Setiausaha PPBM Sabah, Ronald Kiandee semalam berkata, pihaknya bercadang untuk bertanding pada PRK Kimanis, dengan mendakwa PPBM bahagian itu sangat aktif sejak parti tersebut melebarkan sayap ke Sabah pada April lalu.

Beliau juga berkata Hajiji telah menyampaikan hasrat PPBM negeri kepada pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada PRK itu.

Beliau bagaimanapun berkata parti itu akan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh pimpinan PH mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, beliau tidak menentang hasrat PPBM Sabah untuk bertanding di kerusi itu, tetapi pendiriannya kekal dengan hasil perbincangan PH sebelum pilihan raya umum lalu mengenai peruntukan kerusi.

“Ia terpulang kepada PPBM Sabah. Mereka boleh bertanding, tetapi yang lebih penting ialah menang. Ini semua tentang meletakkan calon yang boleh menang,” katanya.

Kerusi Kimanis dimenangi oleh bekas menteri luar Anifah Aman pada pilihan raya umum tahun lalu dengan majoriti 156 undi dalam pertarungan 3 penjuru.

Pada 5 Dis, panel 5 hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimum Tuan Mat mengetepikan rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada PRU14 tidak sah dan terbatal.

Liew hari ini berkata, PH Sabah sebulat suara memberi laluan kepada Warisan untuk bertanding di kerusi Parlimen Kimanis.

“Saya tidak tahu tentang mereka (PPBM Sabah minta PH untuk bertanding kerusi itu), tetapi saya tahu DAP telah buat keputusan dan saya juga telah buat keputusan.

“Saya telah memaklumkan kepada presiden saya (Anwar Ibrahim),” katanya.

“Kami di Sabah menjalankan autonomi kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.