Adakah arahan Tommy Thomas sampai kepada pegawai bawahan, soal peguam PM

Adakah arahan Tommy Thomas sampai kepada pegawai bawahan, soal peguam PM

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Tommy Thomas boleh membatalkan rayuan yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada bila-bila masa tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia masih di peringkat awal.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, peguam negara sepatutnya menyiasat secara terperinci sebelum membuat kenyataan akan mengambil tindakan terhadap pegawai bawahan yang melanggar arahannya.
PETALING JAYA:
Peguam perdana menteri mempersoalkan jika arahan peguam negara tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, disampaikan kepada pegawai terbabit.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Tommy Thomas boleh membatalkan rayuan yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada bila-bila masa tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia masih di peringkat awal.

“Kenyataan awam ini memberi persepsi salah kepada masyarakat seolah-olah pegawai di Jabatan Peguam Negara dengan sengaja melakukan sabotaj terhadap keputusan Tommy.

“Sedangkan pada hakikatnya kenyataan gopoh dan emosi seperti yang dibuat Tommy itu dengan sendirinya boleh ditafsirkan sebagai percubaan seorang ketua untuk mensabotaj agensinya sendiri,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Thomas dilaporkan terkejut apabila jabatannya memfailkan rayuan terhadap pembebasan Rafizi tanpa pengetahuannya.

Katanya, beliau akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang bertanggungjawab kerana keputusan tidak membuat rayuan “sudah disampaikan kepada pegawai terbabit”.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mendakwa ada kuasa dalam Jabatan Peguam Negara yang mahu mencemarkan nama baik Thomas.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Nov lalu melepas dan membebaskan Rafizi selepas membatalkan sabitan mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Salah seorang peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustapha dilaporkan berkata, pihak pembelaan diberitahu mengenai rayuan tersebut melalui e-mel daripada pendaftar Mahkamah Rayuan, kelmarin.

Haniff berkata, Thomas sepatutnya menyiasat secara terperinci sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Secara profesional saya berpendapat kenyataan Tommy akan mengambil tindakan terhadap pegawai yang memfailkan rayuan kerana dikatakan tidak patuh arahannya seolah-olah mengugut. Ini tidak sihat.

“Malah, tidak wajar seorang peguam negara berkata begitu sebelum membuat siasatan terperinci bagaimana rayuan itu difailkan. Adakah beliau pasti arahannya itu sampai ke pengetahuan pegawai terbabit?”

Beliau berkata, tindakan Thomas juga jelas memalukan dan menjatuhkan semangat pegawai bawahan, malah boleh menjauhkan jurang hubungan antara ketua dengan pegawai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.