
Sama seperti perayaan lain, sambutan hari Natal diraikan semua lapisan masyarakat dengan cara tersendiri.
Ia bertujuan mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga dan kenalan, serta dalam masa yang sama turut menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Lexis Hibiscus Port Dickson turut tidak melepaskan peluang dalam meraikan golongan anak yatim pada sambutan Krismas tahun ini.
“Krismas adalah masa untuk kita melakukan kebaikan dan adalah penting untuk kita melakukan perkara yang sama kepada mereka yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan,” menurut Presiden Lexis Hibiscus, Mandy Chew Siok Cheng pada majlis sambutan Krismas dengan kanak-kanak yatim di Port Dickson, Negeri Sembilan, Khamis.

33 kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Yatim dan Miskin Wawasan Port Dickson hadir pada majlis tersebut.
Bermula 5.30 petang, kanak-kanak dibawa menaiki “cruise” bagi melihat pemandangan mata hari terbenam di sekitar Port Dickson, kemudian diteruskan dengan permainan seperti congkak dan karom.

Pada 7.30 malam pula mereka diraikan dengan persembahan nyanyian lagu Krismas daripada kakitangan Lexis Hibiscus sendiri di hadapan replika pokok Krismas gergasi, yang dibina dengan ketinggian 78.7 kaki dan 29.5 kaki diameter sekaligus menjadikan ia pokok Krismas terbesar di Port Dickson.

Pokok tersebut dihiasi dengan 10,000 bebola merah, emas dan silver serta 69,000 lampu LED sekaligus sesiapa sahaja yang melalui di Lexis Hibiscus akan melihat pokok Krismas gergasi yang tersergam indah di hadapan pintu masuk hotel itu.

Ia disusuli dengan majlis makan malam serta pemberian sumbangan RM100 kepada setiap kanak-kanak untuk membeli uniform sekolah baru serta cenderahati daripada Kumpulan Hotel Lexis.

“Sememangnya aktiviti ini merupakan aktiviti setiap tahun yang akan dilaksanakan bagi kita berkongsi bersama kegembiraan bersama kanak-kanak yang disusun sendiri oleh Lexis Hibiscus Port Dickson,” ujarnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]