Kenya: Militan al-Shabab serang bas, 8 maut

Kenya: Militan al-Shabab serang bas, 8 maut

Pada Nov 2014, militan al-Shabaab membunuh 28 guru Kenya selepas mengasingkan orang Islam di Mandera, sebuah pekan yang bersempadan dengan Wajir.

Kedudukan Wajir County yang hampir dengan sempadan Kenya-Somalia menyaksikan banyak serangan militan al-Shabaab yang meragut nyawa beratus-ratus orang. (Gambar Reuters)
NAIROBI:
Militan al-Shabaab yang merupakan sekutu al-Qaeda yang berpangkalan di Somalia, dipercayai membunuh 8 orang di dalam sebuah bas pada Jumaat di utara Kenya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa.

Komander polis Wajir County, Stephen Ng’etich memberitahu pemberita, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang hendap bas itu yang dalam perjalanan ke Mandera pada Jumaat petang.

Beliau berkata, penyerang mengasingkan penduduk tempatan dari Wajir County, yang kebanyakannya adalah orang Islam dan membebaskan bas itu untuk meneruskan perjalanan sebelum membunuh baki penumpang yang merupakan pelawat ke kawasan tersebut.

Pejabat ketua polis Kenya berkata, sepasukan anggota keselamatan dihantar ke lokasi kejadian.

Kedudukan Wajir yang hampir dengan sempadan Kenya-Somalia menyaksikan pelbagai serangan militan al-Shabaab yang meragut nyawa beratus-ratus orang.

Pada Nov 2014, militan al-Shabaab membunuh 28 guru Kenya selepas mengasingkan orang Islam di Mandera, sebuah pekan yang bersempadan dengan Wajir.

Pada 2 Dis 2014, 36 pekerja kuari beragama Kristian dibunuh di Mandera oleh militan terbabit menyebabkan kerajaan meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang kawasan sempadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.