Pengacau kongres Pemuda PKR boleh dipecat, kata Fahmi

Pengacau kongres Pemuda PKR boleh dipecat, kata Fahmi

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Mizan berumur lebih 35 tahun dan bukan merupakan perwakilan.

Kekecohan tercetus apabila bekas pengerusi tetap Pemuda PKR Mizan Adli Mohd Nor dan penyokong cuba masuk ke dalam dewan persidangan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka selepas tidak dibenarkan berbuat demikian.
AYER KEROH:
Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, ahli parti yang cuba mengacau ganggu kongres Pemuda parti itu pagi ini boleh dipecat susulan kekecohan yang berlaku di pintu masuk dewan kongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) di sini.

Bercakap kepada media selepas kejadian, Fahmi berkata, beliau berasa sedih perkara sedemikian berlaku.

Kekecohan tercetus apabila bekas pengerusi tetap Pemuda PKR Mizan Adli Mohd Nor dan penyokong beliau cuba masuk ke dalam dewan persidangan selepas tidak dibenarkan berbuat demikian.

Fahmi berkata, Mizan berumur lebih 35 tahun dan bukan merupakan perwakilan.

“Tindakan beliau untuk masuk walaupun bukan perwakilan adalah satu pelanggaran yang serius dan saya pasti pimpinan akan meneliti perkara ini,” katanya dengan menambah bahawa kekecohan yang berlaku memburukkan imej parti dan pimpinannya.

Beliau berkata, pihak yang terlibat dalam usaha menggganggu perjalalan kongres Pemuda PKR akan diambil tindakan serius.

“Mereka yang didapati bersalah melanggar tataetika dan disiplin parti dan enggan mendengar arahan akan diberikan surat tunjuk sebab ataupun dipecat.

“Setiap seorang yang berusaha untuk mengacau ganggu perjalanan kongres Pemuda PKR akan dikenakan tindakan disiplin yang sangat tegas.

“Saya ulangi buat kali terakhir, jika anda terus melakukannya, kami akan pecat,” katanya, selain menambah ahli parti yang mempunyai aduan hendaklah membuatnya melalui saluran yang sah.

Beliau juga menolak dakwaan Mizan bahawa sebagai bekas pengerusi tetap, beliau perlu hadir ke kongres berkenaan.

“Beliau (Mizan) tidak perlu berada di situ (kongres Pemuda).”

Berkait dakwaan pelajar sekolah turut hadir ke kongres itu sementara perwakilan yang mempunyai pas tidak dibenarkan masuk, Fahmi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun katanya, ia mungkin masalah pengurusan dan sekretariat kongres Pemuda akan melihat isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.