Pemuda PKR lantik pengerusi tetap, timbalan baru selepas penyandang dipecat

Pemuda PKR lantik pengerusi tetap, timbalan baru selepas penyandang dipecat

Rashid Abu Bakar dilantik sebagai pengerusi tetap Pemuda PKR menggantikan Mizan Adli Mohd Noor yang dipecat Majlis Pimpinan sayap itu baru-baru ini.

Setiausaha Pemuda PKR Melaka, Rashid Abu Bakar antara 2 nama dicalonkan untuk jawatan pengerusi tetap sayap itu.
AYER KEROH:
Setiausaha Pemuda PKR Melaka, Rashid Abu Bakar dilantik sebagai pengerusi tetap sayap itu menggantikan Mizan Adli Mohd Noor yang dipecat baru-baru ini.

Setiausaha Pemuda PKR Kedah, Wan Mohamad Syahezral Wan Shahidan pula dilantik sebagai timbalan pengerusi tetap susulan pemecatan Mohd Ramly Ahmad.

Selain Rashid, satu lagi nama yang dicalonkan untuk jawatan pengerusi tetap ialah Ketua Pemuda PKR Bahagian Pokok Sena, Mohd Shafiq Mohd Altab.

Bulan lalu, Pemuda PKR dilaporkan menghantar surat memaklumkan pemecatan Mizan dan Ramly kerana timbul keraguan terhadap pemilihan mereka.

Surat bertarikh 27 Nov lalu menyatakan parti itu menamatkan jawatan mereka kerana usia melebihi 35 tahun dan jumlah undi yang diterima mereka melebihi perwakilan yang menghadiri Kongres Nasional Pemuda PKR tahun lalu.

Mizan dan Ramly kemudiannya dilaporkan berkata, tidak masuk akal mempersoalkan kedudukan serta undi diperolehi mereka selepas setahun Kongres Nasional Pemuda PKR berlangsung.

Pada 28 Nov lalu, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir dilapor mempertahankan pemecatan Mizan dan Ramly oleh Majlis Pimpinan sayap itu berdasarkan perlembagaan parti yang mewajibkan ahlinya berusia 35 tahun ke bawah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.