
Mohamad berkata, Umno pada ketika ini tidak membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, sebaliknya akan membincangkannya di peringkat jawatankuasa perunding teknikal antara Umno dan PAS yang dijadualkan pada Feb depan.
“Saya dan timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man akan melihat apakah yang baik dan apakah yang tidak baik jika diinstitusikan sebagai satu parti, ataupun kita tidak jadikan ia sebagai satu parti. Kita halusi kerjasama itu, apakah perlu berunding selepas pilihan raya umum atau tidak.
“Itu terpulang kepada penilaian. Namun sekarang masih belum ada keputusan. Kita lihat juga jika kita sebagai sebuah kerjasama longgar yang tidak menyekat mana-mana parti,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung Umno 2019, di PWTC, hari ini.
Terdahulu, ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pimpinan tertinggi Umno segera menginstitusikan Muafakat Nasional yang bukan sahaja melibatkan Umno dan PAS, tetapi juga rakan komponen MCA dan MIC serta parti mesra BN.
Asyraf berkata, Muafakat Nasional harus menyediakan tawaran baru kepada rakyat, terutamanya berkait perkara yang menyentuh kehidupan dan untung nasib mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup harmoni di negara ini.
Mohamad berkata, Muafakat Nasional bersama PAS secara tidak langsung adalah satu usaha Umno untuk menyelesaikan masalah dihadapi sebelum ini, iaitu isu pertembungan 3 penjuru sewaktu pilihan raya.
“Salah satu sebab kita banyak kalah kerusi sebab pertembungan 3 penjuru. Jadi kita mesti cari jalan untuk atasi masalah yang kita hadapi semasa pilihan raya umum lepas. Salah satu faktor kerana adanya pertandingan 3 penjuru.
“Jadi kita mesti ketepikan satu persatu masalah dan isu yang menyebabkan kita kalah. Kita mesti tutup semua lubang supaya ia tidak berulang. Jadi BN lebih tertumpu untuk menentang Pakatan Harapan (PH) atau Muafakat Nasional menentang PH,” katanya.
Inisiatif Muafakat Nasional merupakan platform rasmi kerjasama antara Umno dan PAS yang dimeterai pada 14 Sept lepas, sekali gus menamatkan persengketaan puluhan tahun antara 2 parti Melayu terbesar itu.
Ia ditandatangani presiden kedua-dua parti pada Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di PWTC dengan menjadikan agenda mempertahankan kepentingan orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan teras utama kerjasama tersebut.