Mangsa banjir di Kelantan meningkat hampir 14,000

Mangsa banjir di Kelantan meningkat hampir 14,000

Jumlah mangsa di Pasir Mas dan Tumpat meningkat, masing-masing kepada 9,373 mangsa di 29 PPS dan 2,290 orang di 7 PPS.

Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 13,764 orang melibatkan 5,000 keluarga. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 13,764 orang melibatkan 5,000 keluarga, manakala di Terengganu bilangan mangsa menurun kepada 1,856 orang setakat pagi ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa di 2 daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat meningkat, masing-masing kepada 9,373 mangsa di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) dan 2,290 orang di 7 PPS.

Di Pasir Puteh, jumlah mangsa kekal 826 orang (219 keluarga) di 8 PPS; Tanah Merah pula mencatat jumlah 321 mangsa (97 keluarga) di 7 PPS manakala di Machang seramai 140 mangsa (38 keluarga) kekal di 3 PPS.

Jumlah mangsa di Kota Bharu dan Kuala Krai pula mencatat penurunan, masing-masing kepada 146 mangsa (37 keluarga) di 2 PPS dan 263 orang (65 keluarga) di 5 PPS.

Menurut laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas susut kepada 10.32m daripada 10.39m yang melepasi paras bahaya 9m.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat yang melepasi paras bahaya 2.50m pula kekal 3.29m, manakala hanya sebuah sungai melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard, Kuala Krai pada bacaan 12.30m (berjaga-jaga 12m).

Di Terengganu, situasi banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 1,856 orang daripada 498 keluarga di 34 PPS berbanding 2,254 orang (613 keluarga) di 50 PPS malam tadi.

Di Besut, jumlah mangsa berkurangan kepada 289 orang (77 keluarga) di 8 PPS, manakala di Hulu Terengganu menurun kepada 137 orang (35 keluarga) di 4 PPS.

Hanya di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu jumlah mangsa terus meningkat masing-masing kepada 494 orang (144 keluarga) di 6 PPS; 371 orang (94 keluarga) di sebuah PPS, dan 324 orang (91 keluarga) di 10 PPS.

Di Dungun, jumlah mangsa kekal 207 orang (50 keluarga) di 4 PPS dan 34 mangsa daripada 7 keluarga di sebuah PPS di Marang.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hanya Sungai Dungun di Jambatan Jerangau mengatasi paras bahaya pagi ini iaitu setinggi 13.11m melebihi paras bahaya 12.50m.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di Batu Pahat kekal 52 orang daripada 13 keluarga setakat pagi ini yang ditempatkan di 1 PPS.

Cuaca di ketiga-tiga negeri itu dilaporkan cerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.