Saya tak arah SRC pinda perlembagaan beri saya kuasa, kata Najib

Saya tak arah SRC pinda perlembagaan beri saya kuasa, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak dirujuk ketika Artikel 67 dan 116 perlembagaan SRC International dipinda.

Najib Razak berkata, beliau tidak terbabit dalam penubuhan SRC International atau sebarang pindaan perlembagaan syarikat itu.
KUALA LUMPUR:
Najib Razak memberitahu perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak mengarahkan bekas anak syarikat 1MDB itu meminda perlembagaannya untuk memberi kuasa kepadanya mengawal entiti berkenaan.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam pembelaannya, Najib melalui pernyataannya berkata, Artikel 67 dan 116 perlembagaan SRC International dipinda tanpa rundingan dengannya.

Pindaan itu memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk melantik atau memecat pengarah syarikat dan lembaga pengarah perlu mendapatkan kelulusan perdana menteri sebelum melaksanakan sebarang keputusan.

“Saya tidak terbabit di peringkat SRC ditubuhkan atau mana-mana pindaan ke atas perlembagaan syarikat itu.

“Selepas membaca dokumen berkaitan mengenai penubuhan SRC, saya tahu SRC ditubuhkan melalui B&M Consultancy Services Sdn Bhd dan Lim Poh Seng yang merupakan setiausaha syarikat 1MDB ketika itu,” katanya sambil menambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Pejabat Perdana Menteri, meluluskan penubuhan SRC International.

Ditanya peguamnya, Wan Aizuddin Wan Mohammed kenapa beliau tidak “terkejut” dengan perlembagaan syarikat yang mengandungi 2 peruntukan memberi kuasa kepada perdana menteri dalam sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), Najib berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain turut mempunyai peruntukan sama yang memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengawal hal ehwal syarikat.

“Jika mahkamah membenarkan saya untuk menjelaskan, kuasa perdana menteri dalam Petronas lebih komprehensif berbanding SRC,” katanya sambil menambah di bawah Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) Petronas, hanya perdana menteri mempunyai kuasa untuk melantik pengerusinya dan pengerusi itu perlu bertindak berdasarkan arahan perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata: “Artikel itu didraf begitu supaya perdana menteri boleh memastikan pengerusi bertindak mengikut dasar kerajaan.”

Najib turut memberitahu mahkamah, beliau dimaklumkan penubuhan SRC International sekitar Ogos 2010, daripada sepucuk surat oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung cadangan menubuhkan sebuah syarikat untuk melaksanakan keperluan dasar tenaga negara.

Ditanya jika beliau mempunyai kuasa selaku perdana menteri ketika itu untuk meluluskan peruntukan RM3 bilion yang dimohon SRC International, Najib berkata, beliau boleh berbuat demikian, tetapi dinasihatkan sebaliknya.

“Saya biasanya dengar nasihat pegawai di kementerian dan agensi berkaitan sebelum membuat keputusan. Mereka berpendapat wang yang diminta SRC tidak patut datang daripada dana pembangunan kerana ia akan menjejaskan industri lain.”

Terdahulu, mahkamah diberitahu SRC International mahu RM3 bilion untuk menubuhkan sebuah syarikat tenaga dan menghantar sepucuk surat kepada EPU bagi meminta dana.

Bagaimanapun, saksi dan bekas pegawai EPU, Kamariah Noruddin berkata, permohonan mendapatkan dana RM3 bilion tidak diluluskan dan kementerian itu hanya memberi RM20 juta kepada SRC International.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaunnya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.