Pengunjung tercampak daripada permainan di ‘fun fair’

Pengunjung tercampak daripada permainan di ‘fun fair’

Beberapa pengunjung tercampak apabila palang permainan tunggangan itu terbuka sendiri.

Sememangnya ia menjadi kebiasaan untuk ibu bapa membawa anak ke tempat menarik seperti “fun fair” sebagai hiburan bagi seisi keluarga.

Terdapat pelbagai aktiviti disediakan sesuai untuk kanak-kanak sehinggalah permainan ekstrim seperti “roller coaster”.

Namun apa yang terjadi di Bangkok Thailand kelmarin begitu memberi kesan sehingga ada yang trauma untuk pergi ke fun fair.

Bangkok Post melaporkan bahawa situasi itu berlaku apabila beberapa orang dilihat tercampak dari salah satu permainan yang bertemakan lanun selepas palang keselamatan terbuka secara tiba-tiba.

Tidak lama selepas permainan bermula, palang keselamatan yang sepatutnya dikunci telah terbuka dan menyebabkan beberapa mangsa tercampak dari tempat duduk mereka.

Jidapa yang merupakan seorang saksi yang baru sahaja sampai bersama keluarganya tiba-tiba mendengar suara orang menjerit sebelum mereka yang duduk di kerusi bahagian atas terjatuh.

“Mereka terhempas dengan sangat kuat. Salah seorang remaja perempuan menangis kerana terkejut dan seorang budak lelaki tercampak ke tanah serta mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Saya tidak pernah melihat kejadian seperti itu. Ia sangat menakutkan,” katanya.

Difahamkan, pasukan paramedik tiba di tempat kejadian dan membawa mangsa cedera ke hospital berhampiran.

Pihak polis yang tiba tidak lama kemudian turut mengarahkan permainan itu ditutup sementara mereka menyoal siasat pemilik tapak berkenaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.