Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat lebih 15,000

Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat lebih 15,000

Pasir Mas kekal sebagai jajahan paling ramai mangsa dipindahkan iaitu seramai 5,751 (2,268 keluarga) melibatkan 28 PPS.

Paras Sungai Golok di Rantau Panjang menurun kepada 10.58m berbanding 10.61m malam tadi namun masih melepasi paras bahaya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan dengan jumlah terkini adalah 15,126 orang melibatkan 4,901 keluarga pagi ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 10,207 orang melibatkan 3,480 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 10,078 mangsa (3,437 keluarga) malam tadi.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan Pasir Mas kekal sebagai jajahan paling ramai mangsa dipindahkan iaitu seramai 5,751 (2,268 keluarga) melibatkan 28 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia diikuti Kuala Krai seramai 1,075 mangsa (265 keluarga) di 16 PPS, Pasir Puteh 826 mangsa (219 keluarga) di lapan PPS dan Kota Bharu 733 mangsa (209 keluarga) ditempatkan di 5 PPS, manakala di Tanah Merah 642 mangsa (179 keluarga) di 13 PPS, 619 mangsa (190 keluarga) di 3 PPS di Tumpat dan 203 mangsa (61 keluarga) di 6 PPS di Machang.

Dua PPS di Jeli menempatkan 179 mangsa (45 keluarga) dan 179 mangsa (44 keluarga) di 2 PPS Bachok.

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang menurun sebanyak 0.3m kepada 10.58m berbanding 10.61m malam tadi namun masih melepasi paras bahaya 9.0m.

Sungai Golok di Kuala Jambu juga masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 3.21m (bahaya 2.5m).

Tiga sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Golok di Jenob pada bacaan 22.74m (amaran 22.5m), Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard 15.5m (amaran 14m) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai 23.38m (amaran 22.5m).

Tiga sungai pula melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Lebir di Tualang 29.94m (berjaga-jaga 27m), Sungai Galas di Dabong 33.40m (berjaga-jaga 32m) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja 3.86m (berjaga-jaga 3.0m).

Tiada sebarang jalan utama ditutup. Dua individu dilaporkan terkorban setakat ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa setakat pagi ini meningkat sedikit kepada 4,919 orang daripada 1,421 keluarga berbanding 4,908 orang (1,425 keluarga) malam tadi. Mereka di tempatkan di 120 PPS di 8 daerah.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A Rahman berkata Kuala Terengganu adalah daerah terbaru dilanda banjir malam tadi yang kini menempatkan 22 mangsa (4 keluarga) di 1 PPS dekat Manir.

“Di Besut, yang merupakan daerah paling teruk terjejas, jumlah PPS kekal di 51 lokasi dengan jumlah mangsa tidak berubah iaitu 1,879 mangsa daripada 503 keluarga. Setiu pula merekodkan penurunan iaitu 1,406 orang (398 keluarga) di 26 PPS berbanding 1,435 mangsa (408 keluarga) malam tadi. Situasi banjir di Hulu Terengganu juga tidak berubah, masih dengan 889 mangsa daripada 331 keluarga di 16 PPS,” katanya.

Di Dungun pula berlaku sedikit peningkatan iaitu seramai 410 mangsa (106 keluarga) di 15 PPS berbanding 403 mangsa daripada 108 keluarga malam tadi.

Begitu juga di Marang, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 129 orang daripada 27 keluarga di 5 PPS berbanding 121 mangsa daripada 26 keluarga malam tadi.
Di Kuala Nerus, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 160 orang (46 keluarga) di 4 PPS berbanding 157 mangsa daripada 43 keluarga malam tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://publicinfobanjir.water.gov.my/ melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Langkap melepasi paras bahaya pagi ini iaitu bacaan setinggi 21.23m berbanding paras bahaya 21m.

Di Johor, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Batu Pahat, kekal 52 orang mangsa setakat pukul 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata semua mangsa merupakan 13 keluarga yang masing-masing dari Kampung Parit Betong, Kampung Parit Abdul Hadi dan Kampung Parit Ju.

Semua mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan, Sekolah Agama Seri Comel yang dibuka sejak Ahad petang.

Menurut beliau, keadaan paras air di kediaman yang terlibat memperlihatkan penurunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.