Tourism Malaysia sasar 92.8 juta pelancong domestik tahun depan

Tourism Malaysia sasar 92.8 juta pelancong domestik tahun depan

Tourism Malaysia juga mensasarkan kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa dan perolehan sebanyak RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurut Tourism Malaysia pelancong domestik dijangka membelanjakan sejumlah RM76.9 bilion semasa melancong dalam negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tourism Malaysia dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini melancarkan pakej percutian istimewa bagi tahun 2020 dengan sasaran 92.8 juta pelancong tempatan sepanjang tahun hadapan.

Pelancong domestik ini dijangka membelanjakan sejumlah RM76.9 bilion semasa melancong di dalam negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Musa Yusof berkata. jumlah sasaran itu menunjukkan peningkatan 8.9% berbanding anggaran 85.2 juta pelancong domestik tahun ini.

“Kerjasama terbaru dengan MAS akan membantu mengukuhkan lagi usaha mempromosi pelancongan domestik, terutama bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020),” katanya semasa berucap ada majlis pelancaran Pakej Cuti-cuti Malaysia dengan MHholiday di sini, hari ini.

“Pelancongan domestik sentiasa menjadi tulang belakang industri pelancongan kita. Jenama Cuti-cuti Malaysia telah berkembang dan menyerap nilai budaya bercuti dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping mengubah pandangan ramai mengenai percutian domestik,” tambahnya.

“Diharapkan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia, bersama dengan sokongan kritikal daripada pemain industri seperti MAS, kita akan berjaya mencapai sasaran kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa dan mendapat perolehan RM100 bilion dengan kehadiran mereka,” tambahnya lagi.

Katanya, pakej itu juga selaras dengan misi Tourism Malaysia untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik di Malaysia.

Beliau turut berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang daripada tawaran istimewa MHholidays untuk meneroka dan menikmati alam semulajadi, seni dan budaya negara.

Sementara itu ketua pegawai operasi Kumpulan Malaysia Airlines Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, mulai hari ini sehingga 9 Disember, MHholidays akan menawarkan diskaun sehingga 70% bagi hotel dan penerbangan terpilih di seluruh destinasi domestik MAS bagi perjalanan sehingga 31 Mac 2020.

Ahmad Luqman berkata, pakej yang ditawarkan membenarkan pelancong menikmati penginapan 1 malam dengan pembelian pakej penginapan 4 malam di hotel terpilih.

Destinasi Penerbangan Malaysia yang sedang dipromosi ketika ini termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru, Labuan, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Kuantan, Sibu, Bintulu, Miri, Sandakan, dan Tawau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.