
Mohamad berkata sesiapa sahaja dipilih sebagai pemimpin parti perlu menjalankan tanggungjawab dan berjaga-jaga dengan mana-mana pihak yang mengharapkan habuan memandangkan Amanah kini sebuah parti komponen kerajaan.
“Politik wang kita akan pantau dan oleh kerana ahli-ahli Amanah ini saya yakin tiada politik wang, semuanya pun bukan kaya lagi, tiada konglomerat besar dalam parti.
“Sekarang pula kita sebagai parti pemerintah, kemungkinan ada antara mereka yang harapkan habuan dan sebagainya. Saya harap perkara itu tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan penubuhan jawatankuasa Wanita Muda Amanah (Warda) di Wisma Amanah Negara hari ini.
Beliau sempat menasihatkan mana-mana ahli parti yang ingin bertanding dalam pemilihan kali ini agar tidak semata-mata mengejar jawatan.
“Siapa saja boleh menawarkan diri untuk bertanding dan begitu ramai yang menawarkan diri,” katanya.
Mohamad berkata konvensyen Amanah yang akan berlangsung hujung minggu depan itu penting demi menjelaskan kepada ahli tentang kejayaan PH yang dilihatnya tidak sampai kepada akar umbi, selain menekankan soal perpaduan antara parti dalam PH.
Mengulas dakwaan PH bakal menjadi kerajaan sepenggal, ditambah dengan situasi terkini PKR, Mohamad melahirkan keyakinan PH akan terus mempertahankan tampuk pemerintahan pada PRU15 nanti.
“Saya yakin PKR akan cari jalan untuk selesaikan masalah mereka. Saya berkeyakinan PH akan memerintah lagi masa akan datang sebab kita mempunyai masa untuk memberi penerangan kepada rakyat,” katanya.
“Sekarang ini perlu dipergiat terutama menjelang pilihan raya,” tambahnya.